Thursday, December 03, 2009

Laporan tanah runtuh didedah

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Kementerian Kerja Raya akan mengemukakan permohonan kepada jemaah menteri bagi membolehkan laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor pada Disember tahun lalu didedahkan kepada umum.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, permohonan itu akan dibuat pada masa terdekat ini ekoran permintaan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dua hari lalu supaya laporan itu tidak lagi diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Laporan ini kepunyaan MPAJ. Dua hari lalu, dia tulis surat kepada saya meminta perkara ini didedahkan kepada orang ramai.

“Saya kena maklumkan kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan sama ada langkah ini boleh dilaksanakan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Inovasi Kementerian Kerja Raya 2009 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mendakwa tidak mendapat sebarang maklum balas walaupun sudah menghantar surat kepada Kerajaan Pusat meminta laporan itu didedahkan kepada umum.

Dalam kejadian itu, lima nyawa terkorban dan 14 banglo musnah di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada awal pagi 6 Disember tahun lalu.

Shaziman yang kecewa dengan tuduhan Abdul Khalid yang seolah-olah menganggap Kerajaan Pusat cuba menyembunyikan hasil laporan teknikal itu daripada orang ramai menegaskan, pihaknya sebelum ini tidak mendedahkan perkara itu kerana tidak menerima permintaan daripada MPAJ.

“Kementerian membuat laporan ini untuk MPAJ dan kita tidak boleh mendedahkannya tanpa kebenaran mereka. Kenapa kamu (kerajaan negeri Selangor) melompat-lompat tidak tentu pasal, bukan kita hendak sorok apa-apa,” katanya…

Ulasan: Berpusing-pusing alasannya. Laporan itu hak MPAJ. MPAJ pula di bawah kerajaan negeri PR. Kenapa pula kerajaan pusat BN menjadi sibuk?

No comments: