Tuesday, December 15, 2009

PKFZ: Bekas pengurus operasi KDSB didakwa

KLANG 14 Dis. - Selepas tiga didakwa, bekas pengurus projek syarikat kontraktor pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 24 tuduhan menipu membabitkan tuntutan lebih RM116 juta.

Law Jenn Dong, 51, yang sebelum ini berkhidmat dengan Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Jenn Dong bersama seorang arkitek yang telah dituduh pada Khamis lalu, Bernard Tan Seng Swee didakwa menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dengan menyatakan bahawa dua projek besar telah dilaksanakan sedangkan ia tidak dilakukan.

Sebanyak 15 pertuduhan melibatkan tuntutan terhadap kerja-kerja infrastruktur elektrik sistem 33kV manakala sembilan pertuduhan lagi membabitkan sistem 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 di PKFZ, Pulau Indah di sini.

Tuntutan yang dibuat melalui notis pembayaran itu telah mendorong LPK mengesahkan pembayaran antara RM1.5 juta hingga RM16 juta sebanyak 24 kali yang melibatkan jumlah keseluruhan RM116.85 juta kepada KDSB antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan….

Ulasan: Menyeleweng adalah mencuri. 

No comments: