Afiq M Noor, Lawyers for Liberty
Belum pun reda dengan kejayaan gerakan mahasiswa menekan Universiti Islam Antarabangsa untuk menarik balik penggantungan Prof. Dr Abdul Aziz Bari baru-baru ini. Mahkamah Rayuan telah mencatatkan satu lagi sejarah dalam gerakan mahasiswa apabila telah mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 bercanggah / ‘ultra-vires’ dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Dato’ Hishamudin Yunus di dalam penghakiman bertulisnya menyatakan peruntukan Seksyen 15(5)(a) akan memandulkan daya fikir kritikal dan sihat para mahasiswa. Universiti bukannya kilang untuk membiakkan para robot dan mesin pekerja, tetapi jauh lebih besar dari itu, ia adalah gedung melahirkan para pemikir dan reformis. Mahkamah Rayuan juga secara tidak langsung telah mengiktiraf hak-hak kebebasan asasi sebagai struktur asas dan roh di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mahasiswa telah melakar sejarah kegemilangannya satu ketika dahulu, sebagai agen pendesak dan pengimbang bagi pemerintah. Demonstrasi Baling, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya dan Kempen Anti-Tunku adalah antara kenangan manis dalam sejarah gerakan mahasiswa.
Bahkan ramai yang memegang tampuk kepimpinan negara hari ini datangnya dari gerakan mahasiswa. Merasakan mahasiswa dan gelombang kebangkitan mereka mampu menggugat dan mencabar kerajaan pemerintah, maka satu undang-undang digubal untuk mengawal dan menyekat pengaruh mahasiswa , dan itulah AUKU yang ada pada hari ini.
Universiti yang sepatutnya menjadi pusat pembiakan dan percambahan pemikiran telah terjejas teruk dan telah lari dari matlamat asalnya. Para ahli akademik dibisukan dan dijahit mulut mereka dari menjalankan tanggungjawab mereka. Kesan AUKU bukan sahaja dirasai oleh para mahasiswa bahkan keseluruhan warga universiti turut sama terjejas. Para ahli akademik dihilangkan taringnya.
Mana ‘speakers corner’? Mana demonstrasi mahasiswa? Semuanya hilang ditelan waktu. Para mahasiswa telah menjalani proses indoktinisasi terancang dan pembodohan berstruktur oleh pihak universiti dan parti pemerintah untuk satu jangka waktu yang cukup panjang.
Pemikiran kritis dan perbincangan tentang idea sudah hilang. Bagi mereka, mahasiswa yang baik dan berjaya ialah apabila dia dapat lulus dengan cemerlang, tidak melawan dasar universiti dan kerajaan dan mendapat pekerjaan yang baik. Mahasiswa yang sentiasa mencabar dasar universiti dan bersikap kritikal terhadap dasar-dasar kerajaan adalah contoh mahasiswa yang gagal atau terlalu terpengaruh dengan pembangkang.
Mahasiswa adalah sub-set kepada satu kumpulan besar masyarakat. Setiap isu yang timbul, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kehidupan mereka. Dan selaku warga terpelajar, mereka sebenarnya menggalas tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat dan negara. Tidak boleh dinafikan bahawa gerakan mahasiswa adalah agen semak dan imbang yang cukup berkesan.
Teori dan idea yang ditadah di dewan kuliah hanya berguna sekiranya berjaya diterjemahkan dalam tindakan. Bak kata Prof Ungku Aziz: “Belajar sambil mencabar. Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang. Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin. Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar”
Hidup Mahasiswa!
No comments:
Post a Comment