Friday, November 11, 2011

Nascom hanya buang wang, masa dan tenaga

Harakahdaily.net

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Tindakan Kerajaan BN untuk mewujudkan sebuah entiti baru, National Sewerage Company (Nascom) disifatkan hanya membuang duit pembayar cukai, masa dan tenaga, malah untuk menyelamatkan sebuah syarikat GLC yang makin nazak dengan mengorbankan sebuah jabatan kerajaan.

Kewujudan Nascom seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Tenaga, teknologi Hijau dan Air itu adalah untuk menggantikan atau ‘rebranding’ Indah Water Konsortium yang melibatkan penggabungan antara Indah Water Konsortium dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, dengan kewujudan entiti baru itu bermakna Jabatan Perkhidmatan Pembetungan akan dimansuhkan dan semua kerja-kerja pelaksanaan projek pembetungan negara, operasi dan penyelengaraan loji rawatan kumbahan akan diambil alih pihak Nascom yang merupakan sebuah entiti swasta.

Menurut beliau, tindakan untuk rebranding itu adalah perbuatan yang hanya membuang duit pembayar cukai kerana proses tersebut seumpama mengecat kereta yang lama untuk kelihatan baru, sedangkan enjin dan lain-lain komponen dalaman masih lama.

Katanya, tindakan tersebut adalah suatu kerja yang membuang masa dan tenaga, sedangkan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan ditubuhkan dahulu setelah pihak IWK gagal dalam melaksanakan pembinaan loji-loji rawatan kumbahan.

"Disebabkan kegagalan IWK itu kerajaan terpaksa menghadkan fungsi IWK hanya kepada kepada kerja-kerja operasi loji dan penyelenggaraan sahaja dalam tahun 2000, manakala projek-projek kerajaan diletakkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan.

"Dengan tertubuhnya sebuah entiti ini, semua projek-projek penyediaan prasarana pembetungan yang kini dikawal selia oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan yang dianggarkan berjumlah 6.8 billion akan diuruskan oleh sebuah badan swasta yang mempunyai track record bermasalah dalam mentadbir projek dan membuka peluang kepada ketirisan duit rakyat," katanya.

Berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata, maklumat dalaman IWK yang dimaklumkan kepada beliau menjelaskan bahawa cadangan tersebut akan dimajukan oleh kementerian terbabit untuk kelulusan dalam masa terdekat.

Oleh itu, beliau memohon agar kajian lanjut dan terperinci diadakan sebelum pihak jemaah menteri membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Kita melihat usaha untuk menutup jabatan kerajaan ini adalah satu tindakan yang akan menghakis konsep check and balance dalam pengurusan pembetungan negara, di samping akan menguatkan lagi monopoli IWK dalam industri pembetungan," tegasnya.

Dalam cadangan yang dikemukakan oleh pihak kementerian terbabit, tambahnya, selain cadangan untuk menutup jabatan kerajaan bagi menyelamatkan IWK, terdapat juga cadangan untuk menaikkan tariff pembetungan selain permohonan mendapatkan suntikan modal daripada pihak kerajaan untuk memulakan entiti baru itu.

"Kita risau sekiranya ini berlaku, maka peristiwa lama sejarah penubuhan IWK akan berulang dan syarikat akan terus rugi sepertimana sekarang. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Kita ingin cadangkan agar pengurusan sistem pembetungan diserahkan kembali kepada pihak Majlis Tempatan masing-masing sepertimana sebelum tahun 1994 sebelum akta Perkhidmatan Pembetungan 1994 di gubal," ujarnya.

Telah hampir 18 tahun berlalu, tegasnya, didapati konsep penswastaan sistem pembetungan negara yang diserahkan kepada pihak IWK lebih menjurus kepada kegagalan dan pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian setiap tahun dengan pemberian subsidi dan lain-lain bantuan kepada IWK.

"Kita melihat fungsi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan masih relevan dan penting untuk melaksanakan projek-projek pembetungan negara di seluruh negara dan sepatutnya jabatan ini tidak harus ditutup, sebaliknya perlu diperbesarkan lagi fungsinya dan jabatan itu sendiri .

"Kita tidak mahu pihak kerajaan melepas tangan dalam melaksanakan penyediaan prasarana pembetungan negara yang sebenarnya setanding dengan kepentingan menyediakan prasarana air minum," katanya.

Kerajaan, tegas beliau, telah banyak membantu pihak IWK melalui pemberian suntikan modal dan juga perlantikan sebagai Projek Management Consultant (PMC) secara lantikan terus untuk projek-projek pembetungan.

Menurutnya, sedangkan Kementerian Kewangan telah mengeluarkan pekeliling untuk tidak membenarkan sebarang perlantikan PMC untuk projek-projek kerajaan kerana penggunaan PMC didapati tidak efisien dan menambahkan kos projek.

"Sedangkan IWK masih diberi peranan tersebut dalam melaksanakan projek-projek kerajaan dan mendapat bayaran yang lumayan," katanya.

Beliau hairan, kenapa IWK diberi keistimewaan seperti itu, sedangkan pihak Kementerian Kewangan sendiri telah menegaskan ketidakperluan perlantikan PMC dalam projek-projek kerajaan.

"Adakah ini satu proses penyaluran dana kepada pihak IWK secara tidak langsung? Malah IWK juga telah mengutip bil pembetungan di Jelutong secara percuma kerana kos penyelenggaraan Loji Jelutong dan lain-lain kos berkaitan loji itu masih ditanggung oleh pihak kontraktor yang telah menyiapkan loji tersebut beberapa tahun yang lalu.

"Ini bermakna pihak IWK dapat mengutip bil dari pengguna tanpa perlu mengeluarkan belanja kos untuk loji rawatan kumbahan Jelutong. Ini adalah satu perniagaan yang paling menguntungkan di dunia ini iaitu tanpa mengeluarkan modal masih dapat pendapatan," tambahnya.

Sehingga ke tahap ini, katanya, kerajaan cuba membantu pihak IWK tetapi masih tetap mengalami kerugian demi kerugian.

"Kita juga dimaklumkan pihak IWK telah diberi pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan melalui pelbagai sumber, namun masih tetap gagal dan rugi," ujarnya. 

Beliau juga hairan bagaimana IWK yang kerugian saban tahun mampu memberikan bonus kepada kakitangan-kakitangannya yang mencecah ribuan orang, di samping cadangan pihak pengurusan IWK untuk menggantikan semua kereta-kereta Perdana untuk pihak pengurusan IWK kepada kereta-kereta import Volkswagen.

Beliau turut bertanya menteri terbabit mengenai Majlis Perjanjian Kontrak bagi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 Wilayah Persekutuan yang diadakan pada 3 November lalu di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, Kuala Lumpur, antara pihak kerajaan Malaysia dan Syarikat Beijing Enterprise Water Group Limited (BEWG) dari China.

"Projek itu bernilai RM1 bilion dan akan dibiayai kementerian terbabit. Berdasarkan tinjauan yang dibuat, didapati bahawa harga pembinaan loji rawatan kumbahan bawah tanah itu adalah terlalu tinggi.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa dengan konsep dan teknologi yang dicadangkan itu, loji tersebut dapat dibina oleh kontraktor tempatan dengan harga yang tidak mencecah RM500 juta dan mungkin lebih rendah sekiranya dibuat tawaran secara terder terbuka.

"Mengikut pakar-pakar system pembetungan juga, system yang akan di buat oleh pihak BEWG itu tiada sebarang keistimewaan dan biasa sahaja. Malah lebih menakutkan apabila didapati system yang diperkenalkan itu juga tidak pernah mendapat sebarang kelulusan daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan tidak pernah digunakan di Malaysia.

"Kita amat hairan kenapa projek ini di buat dalam keadaan tergesa-gesa seperti cuba menyembunyikan sesuatu kepada rakyat," katanya….

Ulasan: Pusing-pusing, sama saja gaya BN/UMNO. Hanya fikir bagaimana untuk menghabiskan wang rakyat.

No comments: