Wednesday, November 02, 2011

Majlis Peguam harus peka dengan sensitiviti peguam Muslim

Noorazmir Zakaria  

Saya melihat Bar Council Malaysia acap kali terlepas pandang dengan bertindak tanpa mengambil kira sensitiviti ribuan ahlinya yang juga terdiri daripada Peguam-peguam yang beragama Islam.

Contoh yang terbaru adalah dalam perihal sokongan secara terbuka Bar Council Malaysia dalam kempen "SEKSUALITI MERDEKA".

Agama Islam secara terang-terangan mengharamkan homoseksual, baik yang bergelar gay mahupun lesbian di mana pengamal homoseksual ini dilaknat sekeras-kerasnya oleh agama Islam.

Namun, ia bukan bermakna saya menentang hak rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, saya sedar agama-agama lain juga tidak menyokong kepada sesuatu perkara yang boleh mengharu-birukan institusi kekeluargaan dan menambahkan barah kepada moral masyarakat.

Malah, terdapat pendapat di dalam agama Kristian sendiri yang mengatakan perhubungan homoseksual adalah suatu dosa di mana ia dinyatakan di dalam ajaran-ajaran seperti Roman Catholic Church, Eastern Orthodox Churches, Methodist Churches dan lain-lain lagi.

Justeru, atas faktor apakah Bar Council Malaysia menyokong kempen yang sebegini tatkala banyak lagi isu moral di kalangan masyarakat yang boleh diketengahkan?

Saya sebagai salah seorang Peguam yang berdaftar dengan Bar Council Malaysia melihat tindakan Bar Council Malaysia sebegini mencerminkan sikap tidak profesional Bar Council Malaysia yang membelakangkan kehendak ribuan ahlinya yang beragama Islam.

Seharusnya Bar Council Malaysia sedar bahawa setiap tindakannya yang menyokong kempen sebegini sedikit sebanyak memberikan tempias kepada para Peguam yang berada di bawah naungannya. Tatkala keluar berita sebegini, rata-rata masyarakat akan menunding jari kepada kami sebagai Peguam Muslim umpamanya kami menyokong kempen sebegini dan kami tidak sensitif dengan agama Islam. Tidakkan Bar Council Malaysia sedar bahawa kami malu berhadapan dengan masyarakat apabila kami turut dipersalahkan walaupun hakikatnya kami tidak bersetuju dengan tindakan Bar Council Malaysia menyokong kempen sebegini?

Kesimpulannya, Bar Council Malaysia harus lebih peka dengan kehendak ahli-ahlinya dan bukannya “syok sendiri” demi kepentingan peribadi. Bar Council Malaysia harus lebih merakyat dengan peguam-peguam di bawahnya dan peka dengan kehendak para Peguam secara keseluruhannya, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam.

Ulasan: Ke arah manakah Majlis Peguam Malaysia (Bar Council Malaysia) akan membawa ahlinya dan masyarakat Malaysia?

No comments: