KOTA BHARU, 2 Nov: Penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 disifatkan pemuda Kelantan bakal membawa padah dan kemusnahan moral generasi muda di negara ini.
Sehubungan itu Pemuda PAS Kelantan membantah sekeras-kerasnya program berkenaan yang dianjur beberapa pertubuhan NGO bermula 1 hingga 13 November.
Setiausahanya, Mohd Nuri Mat Yaakub berkata, penganjuran program seperti itu menggalakkan hubungan sejenis yang ditentang bukan sahaja oleh Islam bahkan semua agama di dunia.
“Ini merupakan satu langkah permulaan terhadap pemusnahan besar-besaran moral dan akhlak rakyat di atas nama kebebasan hak asasi.
“Kami menjunjung tinggi hak asasi manusia selagi mana ia tidak merosakkan suasana dan nilai-nilai murni masyarakat secara keseluruhannya serta tidak bertentangan dengan syariat Islam,” katanya di sini.
Program yang dikenali Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear berlangsung di The Annaxe Gallery.
Program itu difahamkan berteraskan perjuangan human right, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.
Mohd Nuri berkata, kerajaan sewajarnya bertindak tegas menghalang perhimpunan dan gerakan seperti itu.
“Kami percaya sebagaimana kerajaan menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 pada Julai lalu dan membuat penangkapan besar-besaran sebelum perhimpunan tersebut berlangsung, kerajaan juga boleh bertindak serupa terhadap penganjur Seksualiti Merdeka,” ujarnya.
Menurutnya kegagalan kerajaan bertindak tegas terhadap penganjur membuktikan ia mendapat lampu hijau sepenuhnya daripada kerajaan Malaysia.
Ulasan: Negara kita menuju kemurkaan Allah kalau kita redha dengan program maksiat. Selamatlah negara kita dengan mencegah maksiat.
No comments:
Post a Comment