JAKARTA 31 Okt. - Sesuai dengan galakan penggunaan ubat-ubatan tradisional oleh kerajaan, 14 hospital di Indonesia dan 30 pusat kesihatan masyarakat di Jawa Tengah menggunakan jamu sebagai antara ubat rasmi.
Menteri Kesihatan, Endang Rahayu Sedyaningsih berkata, penggunaan jamu akan diperluaskan di hospital lain secara berperingkat-peringkat.
Kajian menunjukkan 49.53 peratus penduduk Indonesia berusia 15 tahun ke atas mengambil jamu secara rutin dan daripada angka itu 4.36 peratus mengambilnya setiap hari, katanya.
''Di Afrika, 80 peratus penduduknya bergantung kepada ubat tradisional.
''Kita berharap kepercayaan pengguna terhadap jamu akan dijadikan sebagai cabaran oleh para pengeluarnya untuk meningkatkan pengeluaran ubat-ubatan tradisional yang selamat, berkesan dan bermutu bagi manfaat perkhidmatan kesihatan,'' katanya ketika merasmikan seminar ASEAN mengenai perubatan tradisional di Solo, Jawa Tengah, hari ini.
''Kementerian Kesihatan sedang melakukan penyelidikan ilmiah di Tawangmangu, Jawa Tengah untuk mencari ubat dari bahan-bahan tradisional bagi empat penyakit iaitu kencing manis, lipid, tekanan darah tinggi dan gout,'' ujarnya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment