Tuesday, November 01, 2011

Pencuri pilih anjing penjaga

Ahmad Lutfi Othman  

Laporan Ketua Audit Negara masih diperdebatkan. Pendedahan terhadap salahlaku kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tertentu terus mendapat perhatian ramai. Seminggu dua ini rakyat Malaysia asyik bermain dengan angka dan fakta yang dikutip daripada laporan itu.

Khabarnya akhbar-akhbar berbahasa Cina menampilkan isu ini secara besar-besaran selama beberapa hari berturut-turut. Sekali gus ia menenggelamkan "gegak-gempita" belanjawan 'one-off' Najib Razak. Sememangnya, sejak dahulu, laporan media Cina lebih bebas dan objektif. Beruntunglah masyarakat Tionghua berbanding pembaca Melayu, yang sentiasa diperbodohkan akhbar-akhbar utama berbahasa kebangsan!

Isu kelewatan pembentangan laporan audit, yang tertangguh dua minggu daripada tarikh Bajet 2012, masih belum terjawab. Mungkin kerajaan bimbang laporan audit tersebut akan mencuri tumpuan berbanding belanjawan yang diakui Muhyiddin Yassin sebagai bajet pilihan raya.

Selain itu, amalan mengemukakan laporan kepada jemaah menteri sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong turut ditimbulkan. Justeru, ramai mula mempersoalkan tahap kebebasan Jabatan Audit Negara -- yang terletak di puncak piramid akauntabiliti kewangan -- daripada pengaruh parti pemerintah.

Menurut buku panduan Asas-Asas Panduan Integriti, terbitan Institut Integriti Malaysia dan UNDP, jabatan audit yang tidak bebas seolah-olah seperti menyuruh si perompak melantik pengawal keselamatan.

Dalam buku Strategi Membanteras Korupsi, terbitan Transparency International Indonesia, ditekankan jika jabatan audit dapat dipengaruhi parti pemerintah, ia ibarat meminta pencuri memilih anjing penjaga. Sedangkan yang diperlukan adalah audit yang kuat dan efektif, yang merupakan teman yang sangat berharga bagi pemerintah dan rakyat untuk mengurangi pemborosan dan penyelewengan besar-besaran.

"Negara memerlukan anjing penjaga kewangan yang pandai menyalak dan menggigit," buku itu memetik artikel dalam Economic and Political Weekly, India.

Ia turut menegaskan, agar benar-benar efektif, Jabatan Audit Negara harus bebas mengelola anggaran perbelanjaannya sendiri dan menerima serta menugaskan tenaga-tenaga staf yang profesional. Biasanya ada tenaga profesional dan berpengalaman yang dapat ditarik daripada sektor swasta, apa lagi jika gaji yang ditawarkan menarik.

Malah, sekiranya jabatan audit dikira masih bebas dan berwibawa sekalipun, apakah yang rakyat boleh harapkan daripada siri pendedahan tentang kes-kes salahlaku terutama yang berpunca daripada perolehan perolehan jabatan-jabatan kerajaan dengan harga yang jauh lebih tinggi itu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar sendiri pernah membangkitkan kelemahan ketara ini pada 9 Oktober 2005: "Rakyat Malaysia diacah-acah dengan laporan Ketua Audit Negara tentang salah urus dan kedudukan kewangan dalam sektor awam ... Dalam sesetengah kes, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya siasatan lebih lengkap dijalankan. Persoalannya, siapa yang akan menyiasat ... dan bertanggungjawab kepada siapa?

"... wujud sinisme bahawa tindakan berani Ketua Audit Negara itu tidak akan mengubah apa-apa. Perkara ini kemudiannya akan dilupakan dan pesalah akan mengulangi perbuatan mereka. Bukankah masalah ini pernah berlaku sebelum ini? Adakah sesiapa yang telah dikenal pasti dan dihukum atas kepincangan terang-terangan ini, pada tahun lepas, atau pada tahun-tahun sebelumnya ...?"

Mengenai respons Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka membuka fail bagi menyiasat 36 kes salahlaku seperti didedahkan laporan audit baru-baru ini, saya bersetuju dengan rumusan Lau Weng San, Setiausaha Organisasi DAP Selangor.

"Bagaimana rakyat boleh mengharapkan SPRM untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah apabila kes-kes yang telah dilaporkan sejak lima tahun yang lalu pun belum lagi diambil tindakan oleh SPRM?" tegas Adun Kampung Tunku itu.

Blogger terkenal, A Kadir Jasin turut menyentuh laporan audit: "Kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar." Beliau mengaitkan hal itu dengan kegagalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) Perdana Menteri.

"Apatah lagi, Perdana Menteri sendiri, sebagai Menteri Kewangan, adalah ketua turus kewangan negara. Jadi, kalau ada autoriti mutakhir yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan pengurusan kewangan awam, hendak tidak hendak, orang itu adalah Perdana Menteri sendiri kerana beliau adalah Menteri Kewangan," tulisan Kadir dipetik.

Tambahnya, "elok disebutkan yang dua daripada agensi yang akan disiasat Jawatankuasa Akaun Awam Dewan Rakyat (PAC) -- ekoran Laporan Ketua Audit Negara -- terletak di bawah Kementerian Kewangan iaitu Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri."

Dalam pada itu, saya segera teringat perbualan bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, pagi Jumaat lalu, di Petaling Jaya. Bukan kali pertama beliau melahirkan kerisauannya, malah ia diluahkan dalam ketiga-tiga pertemuan mutakhir saya dengannya, dalam tempoh sebulan ini.

Tema bicaranya adalah soal integriti, yang baginya, seperti dipandang enteng, termasuk oleh aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk parti Islam PAS. "Saya bimbang jika sesama rakan Pakatan pun, dalam aspek integriti sewaktu mentadbir kerajaan negeri, kita tertinggal dek DAP," katanya.

"Masyarakat Barat lebih serius menjunjung prinsip mulia itu. Integriti, akuantabiliti, perangi rasuah dan budaya berhemat membelanjakan wang rakyat, cukup dijaga mereka. Malang sekali, kita jauh terkebelakang. Paling sedih apabila kita tidak memanfaatkan kesempatan sepenuhnya sewaktu berkuasa untuk menunjukkan teladan unggul itu," ujarnya, sambil meminta saya menekankan hal ini dalam tulisan-tulisan saya.

Mat Sabu mahu teladan unggul peribadi mulia, Nabi Muhammad s.a.w., ketika berkuasa di Madinah, yang berjaya mengislamkan lebih suku juta umat, berbanding tidak sampai 500 orang di Makkah, dijejaki rahsianya. Bagi beliau, kejayaan itu adalah kerana tarikan contoh gemilang Nabi yang ditunjukkan baginda semasa memerintah.

"Soalnya, apa yang kita lakukan sewaktu diberi amanah ketika berkuasa? Apakah ia makin membuatkan masyarakat bukan Islam tertarik dengan agama suci ini, atau bagaimana" soalnya.

II. Pengundi Melayu

Era Umno-BN makin menghampiri nokhtah. Sekurang-kurangnya itulah tanggapan aktivis Pakatan Rakyat. Lambat atau cepat BN akan beralih daripada takhta kuasa. Namun, bagi saya, persoalannya, apakah ia dapat ditumbangkan dalam PRU13 ini, atau kita terpaksa menanti 5 tahun lagi?

Faktor masa cukup penting dan begitu kritikal. Sekali peluang terlepas, situasi boleh berubah. Kesempatan yang ada mungkin tidak datang lagi.

Dalam kolum sebelum ini saya menyentuh isu media baru yang memecahkan monopoli maklumat. Soalnya (banyak sangat pertanyaan), apakah dengan penguasaan maklumat maka secara automatik ia turut merubah persepsi rakyat, khususnya pengundi Melayu, terhadap BN?

Dikatakan talian hayat Umno kini bergantung kepada peneroka Felda, kampung tradisi, undi pos dan masyarakat Bumiputera Sabah/Sarawak. Bahasa mudahnya, terikat kuat dengan sentimen orang Melayu-Islam.

Ya, bagaimana penerimaan pengundi Melayu di wilayah berkenaan kepada PAS? Maaf, saya masih menaruh curiga sebelum berani meramalkan perubahan besar bakal berlaku.

III. 10 hari pertama Zulhijjah

Sewaktu 10 hari terakhir Ramadan lalu, saya terkesan dengan pesanan seorang ustaz, bahawa selain mengejar keberkatan di bulan puasa, jangan pula lupa kesempatan terbaik untuk mengabdikan diri kepada Allah pada bulan Zulhijjah.

Selepas mendengar siaran radio Ikim, pagi 1 Zulhijjah lalu, isteri saya turut mengingatkan hal sama, merujuk tazkirah penceramah jemputan. "Jangan hanya tumpu kepada kerja Harakah sampai ke subuh, tapi tak sempat solat malam," ingatnya sentiasa.

Untuk berkongsi ilmu dengan pembaca, saya cuba membelek buku-buku agama, tetapi tidak terjumpa yang dicari. Alhamdulillah, sebaik melayari laman web zaharuddin.net, saya terpandang bahan yang cukup bermakna:

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan Nabi s.a.w: "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu. " Allah SWT berfirman: "Demi fajar dan hari-hari yang sepuluh" (maksud Al-Fajr: 1). 

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. Ia juga disebut Nabi: Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hamba-Nya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini." 

Dr Zaharuddin Abd Rahman seterusnya menghuraikan amalan-amalan utama yang digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya: 

1. Zikir: Iaitu memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sohih Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya: "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu." (maksud Al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a. mentafsirkan erti "hari-hari tertentu" adalah 10 hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa: Amat digalakkan berpuasa pada 1-9 Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Nabi bersabda: "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah." (Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w. juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.


4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

5. Bertakbir: Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Ali k.w. menunjukkan bahawa permulaan takbir iaitu bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tashriq.

6. Menyembelih korban.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/6286-pencuri-pilih-anjing-penjaga

No comments: