Thursday, November 03, 2011

IKRAM tentang usaha kembalikan PPSMI

Selasa, 01 November 2011

SERI KEMBANGAN - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menentang usaha-usaha mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana yakin keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membatalkan PPSMI telah diasaskan kepada kajian dalaman kementerian, pakar-pakar tempatan dan kajian badan luar negara yang berwibawa yang mana semua kajian ini menunjukkan kesan negatif PPSMI melebihi manfaatnya.

Sebagai sebuah institusi yang membawa misi memperkasa pendidikan Islam, IKRAM sangat prihatin terhadap isu PPSMI yang sedang hebat diperkatakan sekarang dan berpandangan strategi pelaksanaan untuk menguasai bahasa asing bukan sepatutnya dengan mengorbankan kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu.

“Kami menyedari bahawa kepentingan dan keperluan menguasai bahasa-bahasa lain sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah dalam konteks pembangunan ummah dan tamadun bangsa serta negara,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM, Profesor Dr Omar Yaakob dalam satu kenyataan media.

“Kami yakin bahawa penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan tetapi cara meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui PPSMI bukan sahaja tidak mencapai matlamat bahkan akan merencatkan perkembangan pendidikan murid-murid terutama di luar bandar.”

Tegasnya lagi, IKRAM yakin bahawa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuat keputusan yang tepat ketika membatalkan PPSMI dan melancarkankan program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Bagaimanapun katanya, cadangan untuk memberikan pilihan kepada sekolah untuk memilih sama ada menjalankan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris akan menimbulkan kecelaruan dalam Sistem Pendidikan Negara.

“IKRAM menyeru agar pihak Kerajaan bertegas serta mengambil langkah berhikmah dalam menentukan pendekatan dan strategi agar kedudukan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi dan Bahasa Ilmu terpelihara dan pada masa yang sama, penguasaan bahasa-bahasa utama yang lain dalam kalangan pelajar-pelajar tercapai.”

IKRAM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan khususnya pendidikan Islam bersepadu. Sejak penubuhan sekolah pertamanya pada tahun 1985, IKRAM kini menaungi rangkaian 34 buah sekolah swasta Islam pada peringkat rendah dan menengah yang dapat menampung 13,000 pelajar, lebih 1,000 orang pendidik serta berkhidmat untuk 20,000 orang ibu bapa di seluruh Malaysia.

No comments: