Itu program maksiat – Shahril Azman
KUANTAN 31 Okt. - Dewan Pemuda Pas Pahang mempertahankan pendirian membantah konsert Greatest Hits Tour melibatkan penyanyi gay Elton John di Arena of Stars, Genting Highlands, 22 November depan.
Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz berkata, Pas hanya melontar pandangan kerana konsert itu bukan sahaja tidak sesuai dengan budaya negara ini malah boleh disifatkan sebagai program maksiat.
“Nabi Muhammad SAW ada menyebut sesiapa yang melihat kemungkaran perlu mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu dengan tangan, ubah dengan lidah dan jika tidak mampu dengan lidah, ubah dengan hati.
“Ubah dengan hati ini bermakna membenci dan dalam konteks konsert tersebut kita (Pas) anggap ia program maksiat dan untuk apa kita hendak sokong program yang membawa konsep maksiat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ekoran kenyataannya membantah penganjuran konsert Elton John, 64, di Genting Highlands itu, Shahril Azman dikritik pelbagai pihak, termasuk oleh beberapa laman blog.
Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ketika mengulas bantahan itu turut menasihatkan Pas supaya ‘jangan tiru Taliban’ sebaliknya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.
Mengulas lanjut, Shahril Azman berkata, sebagai parti dakwah, Pas akan berusaha untuk menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus ke arah melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina.
Membenarkan konsert tersebut bukan sahaja mendorong berlakunya perkara yang boleh menyebabkan zina, malah katanya, ia seolah-oleh menggambarkan Malaysia membenarkan budaya songsang di negara ini.
“Kita (Pas) tidak kata Malaysia akan jadi seperti Britain yang mengiktiraf perkahwinan sejenis, tetapi membenarkan konsert itu seolah-olah kita mengiktiraf golongan sedemikian yang sememangnya dilaknat oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, budaya hedonisme atau berhibur secara berlebihan dan melampau kian menular dan merebak umpama racun berbisa yang semakin menyerang remaja Islam.
“Budaya inilah yang lazimnya membawa kepada kerosakan sebuah masyarakat seperti pergaulan bebas, gejala arak, berzina, anak luar nikah dan melekakan mereka terhadap tanggungjawab beragama selama ini,” katanya.
Mengulas mengenai kritikan ke atasnya, Shahril Azman berkata, dalam menyatakan kebenaran, itulah risiko yang perlu ditanggung.
“Malah dalam menyatakan kebenaran, Rasulullah sendiri pun dikatakan gila oleh mereka yang sebelum ini pernah menyanjung baginda.
“Yang kata dan kritik saya bantah konsert Elton itu saya percaya orang itu seseorang yang minat kepada hiburan, semoga Allah berikan hidayah kepada mereka,” katanya.
Ulasan: Jangan serik. Teruskan membantah program maksiat dalam negara kita.
No comments:
Post a Comment