Friday, January 14, 2011

JCorp akui kejayaan Muhammad Ali

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Johor Corporation (JCorp) mengakui Tan Sri Muhammad Ali Hashim telah mengubah syarikat milik Kerajaan Negeri Johor itu menjadi sebuah badan pelaburan yang paling dinamik di negara ini sepanjang tempoh kepimpinannya.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, JCorp berkata, kejayaan kepimpinan itu dapat dibuktikan dengan pelbagai perniagaan yang dimiliki oleh syarikat itu hari ini.

Menurutnya, JCorp kini menjadi peneraju dalam pelbagai sektor merangkumi perladangan, kesihatan dan makanan segera.

''Kami berterima kasih kepada beliau dan mengakui di bawah kepimpinan beliau, JCorp telah menjadi badan korporat kepelbagaian yang berjaya.

''JCorp juga mengagumi beliau dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhammad Ali,'' katanya.

Kenyataan penghargaan itu dibuat JCorp ekoran peletakan jawatan pengerusi dan pengarah enam buah syarikat miliknya.

Syarikat-syarikat itu ialah Kulim (M) Bhd., QSR Brands Bhd., KFC Holdings (M) Bhd., KPJ Healthcare Bhd., Damansara Realty Bhd. dan Damansara REIT Managers Sdn. Bhd..

Dalam kenyataan itu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp yang baru, Kamaruzzaman Abu Kassim berikrar akan bertanggungjawab membawa JCorp ke tahap lebih tinggi melalui program transformasi keseluruhan kumpulan tersebut secara berperingkat selama lima tahun. 
Kamaruzzaman berkata, JCorp akan memberi tumpuan meningkatkan perniagaan terasnya pada tahun ini.

Bagaimanapun, fokus utamanya adalah menyelesaikan hutang RM3.6 bilion menjelang pertengahan tahun depan dan mengenal pasti beberapa strategi bagi melunaskannya.

''Kami mampu menanganinya secara teratur dengan bantuan Maybank dan CIMB Bank,'' ujar beliau.

Ulasan: Semua hebat tapi…dibuang juga.

No comments: