Monday, December 13, 2010

1 daripada 4 orang terlibat rasuah

BERLIN 9 Dis. - Satu daripada empat orang seluruh dunia terlibat dengan rasuah tahun lalu, menurut satu kajian yang disiarkan bersempena sambutan Hari Antirasuah hari ini.

Kajian yang dijalankan sebuah agensi bukan kerajaan beribu pejabat di Berlin, Transparency International, memberi tumpuan kepada rasuah berskala kecil melibatkan data daripada tinjauan pendapat yang disertai lebih 91,000 orang penduduk di 86 buah negara dan wilayah.

Menurut Barometer Rasuah Dunia 2010, satu daripada empat orang memberi rasuah kepada satu daripada sembilan institusi, antaranya seperti kesihatan, pendidikan dan penguatkuasaan cukai sejak 12 bulan lalu.

Namun polis terbukti sebagai institusi paling korup, yang mana menurut kajian tersebut seramai 29 peratus responden yang berurusan dengan polis mengakui ada memberi rasuah.

Kawasan Sahara di Afrika adalah wilayah terbesar menerima sogokan dengan lebih seorang daripada dua orang mengatakan mereka memberi suapan kepada pegawai penguatkuasa dalam tempoh 12 bulan terakhir ini.

Dalam pada itu, Asia Barat dan Afrika Utara merupakan kawasan kedua mencatatkan rasuah tertinggi dengan 36 peratus penduduk di sana melaporkan memberi rasuah.

Berbanding 32 peratus di negara-negara bekas Kesatuan Soviet, 23 peratus di Amerika Selatan, 19 peratus di Balkan dan Turki, 11 peratus di rantau Asia Pasifik, dan lima peratus di Kesatuan Eropah dan Amerika Utara.

Negara di kedudukan teratas dalam senarai rasuah sejak tahun lalu adalah Afghanistan, Kemboja, Cameroon, India, Iraq, Liberia, Nigeria, Palestin, Senegal, Sierre Leone dan Uganda , di mana lebih seorang daripada dua orang penduduknya menyatakan ada memberikan sogokan. 

Hampir separuh daripada responden menyatakan mereka berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang masalah, manakala satu per empat daripadanya memberi alasan untuk mempercepat prosedur. – AFP

Ulasan: Mari kita mengundi parti  yang TIDAK menyuburkan rasuah dalam negara. 

No comments: