Tuesday, December 14, 2010

Jangan tuduh pengkhianat, siasat dulu dakwaan Felda bankrap

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kerajaan Barisan Nasional (BN) harus menyiasat terlebih dahulu dakwaan yang dibuat terhadap Felda sebelum menuduh pihak yang mendakwa Felda bankrap sebagai pengkhianat bangsa.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, selepas dakwaan Felda bankrap akibat penyelewengan yang berlaku, tiada sebarang siasatan dilakukan terutamanya dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Adakah mereka mereka telah melakukan penyiasatan terhadap dakwaan-dakwaan yang dibuat selama ini?

“Saya tidak nampak SPRM menyiasat semua dakwaan yang dibuat di Parlimen dan media alternatif," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, adalah sesuatu yang menghairankan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuduh demikian sedangkan tiada penyiasatan terhadap dakwaan penyelewengan yang cukup besar itu.

"Adalah sesuatu yang pelik apabila dia (Najib) menuduh orang lain yang cuba membangkitkan isu Felda ini sebagai pengkhianat. Sepatutnya mereka harus melakukan satu penyiasatan. Ini soal penyelewengan yang sangat besar," katanya.

Menyentuh mengenai dua kes saman terhadap akhbar alternatif yang dimenangi Felda, beliau berkata, ianya tidak membuktikan dakwaan terhadap Felda itu salah selagi siasatan tidak dilakukan.

"Kerajaan hanya menang saman terhadap akhbar tapi adakah siasatan dilakukan? Segala artikel akhbar berkenaan mengenai Felda memerlukan satu siasatan. Tidak guna mennag saman tapi tiada siasatan dilakukan," tegasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai isu sama dalam sidang media di lobi Parlimen, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, dakwaan najib bahawa Felda mempunyai pendapatan sebanyak RM4.3 bilion tidak boleh dijadikan ukuran memandangkan ianya bersifat subjektif.

"Nilai aset ini subjektif, cuma atas buku. Mungkin dia tulis RM4 bilion tapi bila nak dijual mungkin orang nak beli RM2 bilion sahaja," katanya.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan Najib yang sewenang-wenangnya menuduh pihak-pihak tertentu sebagia pengkhianat.

“Penggunaan istilah pengkhianat digunakan dengan mudah oleh Umno BN kerana dia nak naikkan semangat Melayu dan patriotisme. Kalau nak kata orang yang kata Felda bankrap sebagai pengkhianat, apa pendirian dia terhadap Idris Jala yang kata negara akan bankrap? Itu bukan sekadar Felda tapi satu negara," katanya…

Ulasan: Kita tunggu sehingga SPRM menjalankan siasatan terhadap laporan pelbagai pihak terhadap Felda. PSRM boleh kalau bos tak masuk campur.

No comments: