Tuesday, December 28, 2010

Masyarakat miskin dan demokrasi perut

oleh: Masturah Abu Bakar  

Kajian yang dijalankan oleh Economist Intelligence Unit mendapati bahawa demokrasi di Malaysia jatuh kepada anak tangga ke-71 berbanding tangga ke-68 pada tahun 2008. Penilaian tersebut dibuat melalui lima kriteria iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Malaysia mengalami penurunan dalam budaya politik dan kebasan sivil, meskipun meningkat dalam peratusan fungsi kerajaan. Lihat berita di sini.

Malaysia dan masyarakat miskin

Saya pernah berbual-bual dengan masyarakat kampung berkenaan dengan keluarga, pekerjaan, pendapatan, bantuan kewangan, politik dan kerajaan. Saya mendapati ramai di antara mereka yang berada di bawah paras kemiskinan tegar, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Rupanya, ada lagi masyarakat sebegitu dalam negara membangun seperti Malaysia pada zaman pasca moden ini.

Mereka yang dikategorikan sebagai miskin ialah yang sukar memenuhi keperluannya yang amat asasi sebagai manusia, yang dinamakan kemiskinan mutlak. Namun pengkategorian kemiskinan adalah relatif, berbeza mengikut kumpulan pendapatan, kumpulan etnik dan penghuni bandar dan luar bandar.

Ada di antara mereka yang mempunyai penghasilan gaji tetap, swasta, usahawan kecil dan bekerja sendiri. Akan tetapi penghasilan yang diperoleh setiap bulan tidak mencukupi untuk hidup secara selesa, apatah lagi untuk mendapatkan tempat tinggal yang layak, pendidikan anak-anak, kemudahan kesihatan yang terbaik dan sebagainya. Ada pula yang tidak mempunyai penghasilan tetap, bahkan ada yang tidak bekerja. Mereka mendapatkan sumber wang melalui cara meminta sedekah dan mencuri.

Masyarakat miskin dan demokrasi perut

Saya boleh membuat rumusan, tekanan hidup yang mereka hadapi memberi kesan kepada sokongan politik. Disebabkan tekanan hidup yang tinggi, mereka cenderung untuk mengharap kepada bantuan. Ada juga yang berpendapat masyarakat miskin adalah masyarakat warung, sesiapa yang membeli dan membayar akan dilayani. Apa maksudnya?

Masyarakat miskin sangat dipengaruhi oleh pemberian yang memberi kesan kepada sokongan. Ini bermakna, sesiapa yang membayar mereka, maka itulah pihak yang akan diundi di dalam pilihanraya. Maka timbul persoalan, dapatkah masyarakat sebegini mengamalkan demokrasi secara baik, penuh kesedaran dan tanggungjawab?

Terdapat sarjana yang berpendapat demokrasi yang diamalkan oleh masyarakat miskin adalah demokrasi perut (stomach democracy). Ia bermaksud mana-mana pihak yang dapat memenuhi keperluan mereka secara pragmatik seperti memberi wang, bahan makanan dan sebagainya menjelang pengundian, pihak itulah yang akan mereka undi dalam pilihanraya (Musni Omar: 2007).

Apabila ditanya kepada masyarakat kampung, khususnya masyarakat di pedalaman mengenai politik, maka jawapan mereka sangat membimbangkan. Mereka akan memilih pihak yang memberi bantuan wang (yang sebenarnya hanya diberikan apabila menjelang hari pengundian). Apa yang menarik, ada juga di antara mereka yang mempertaruhkan 1 undi hanya untuk mendapatkan wang 50 ringgit yang dijanjikan.

Impak kemiskinan kepada budaya politik

Masyarakat di kawasan pedalaman juga mempunyai kadar akses maklumat yang terhad, yang hanya boleh didapati melalui media dan akhbar perdana. Tanpa akses kepada media dan akhabr alternatif, masyarakat sebenarnya lebih terdedah kepada maklumat sebelah pihak akibat daripada penguasaan media yang hanya terhad kepada pemerintah.

Dalam faham demokrasi, yang berkuasa adalah rakyat. Tetapi secara realiti, rakyat hanya menjadi instrumen untuk keabsahan suatu kekuasaan melalui mekanisme pilihanraya yang pada umumnya dimenangkan oleh pemilik modal dan pemegang kuasa politik. Maka demokrasi dalam kalangan masyarakat miskin hanya nampak di permukaan sebagai berjalan dengan baik.

Dalam masyarakat miskin dan akses kepada pendidikan kualiti yang kurang, demokrasi tidak dapat tumbuh dan berkembang dengan baik. Demokrasi dapat dijual kepada kuasa ekonomi dan politik dengan harga yang murah, kerana tekanan kemiskinan dan ketidaktahuan. Maka, masyarakat sebegini akan menyalurkan aspirasi politik mereka kepada mereka yang mempunyai kuasa wang.

Justeru, mimpi Malaysia untuk melahirkan masyarakat sivil, yang berbudaya politik partisipasi masih jauh. Kesedaran ke atas tanggungjawab masyarakat masih minimum tanpa usaha sosialisasi yang konsisten daripada mana-mana pihak.

Masturah Abu Bakar, API Universiti Malaya.

Ulasan: Sayang kerana kerajaan BN/UMNO selama ini TIDAK mendidik rakyat untuk memilih kerajaan secara yang betul iaitu berdasarkan kepentingan negara dan rakyat. Parti politik datang dan pergi. Yang pentingnya: kepentingan negara dan rakyat selalu di utamakan. Mari kita mendidik rakyat.




No comments: