Tuesday, December 28, 2010

Felda: Patutlah usaha perangi rasuah gagal

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Perlantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda menggambarkan watak sebenar Datuk Seri Najib Razak dalam memerangi rasuah.  

“Patutlah usaha untuk memerangi rasuah tidak berjaya, malahan semakin parah,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris ahmad.

Beliau berkata, pemilihan itu seolah-olah Najib tidak nampak di kalangan ahli Umno seramai 3.5 juta orang, melainkan hanya nampak insan yang bernama Isa Samad sahaja.

“Apa rahsianya beliau dipilih, hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS, ujarnya menyifatkan perlantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda, berkuat kuasa 1 Januari 2011, sebagai satu lagi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diuar-uarkan oleh yang dilancarkan pada 20 Januari 2010.

Antara NKRA telah diputuskan oleh Kabinet ialah membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“PAS merasa hairan Perdana Menteri yang terkenal dengan berbagai-bagai slogan retorik, untuk membuat pembaharuan (transformasi), tiba-tiba boleh melantik Tan Sri Isa Samad yang pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail,” katanya lagi.

Isa telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun. Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan. Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah itu telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap setiausaha politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan September tahun 2004.

Idris berkata, Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu, ujarnya membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

“Memang kita jarang kedengaran Presiden Umno sekarang ini bercakap tentang memerangi rasuah secara agresif, berbanding dengan zaman Tun Abdullah,” ujarnya.

Katanya, walaupun nampak lembut, sekurang-kurangnya zaman Tun Abdullah ada juga daya usaha menubuh Institut Integriti Malaysia, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

No comments: