Banteras rasuah, Umno tingkat kempen pulih imej
SiasahDaily
Umno kini sedang meningkatkan usaha memulihkan imej buruk yang menyumbang kepada kekalahan di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12.
Muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini memberi gambaran lebih jelas kepada usaha terbaharu Umno pada masa ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dilapor berkata kerajaan serius memerangi rasuah tanpa mengira martabat dan jawatan.
Persoalan terhadap manfaat tindakan itu kepada pemerintah, yang diulas pertama kali oleh SiasahDaily dalam komentar bertajuk Kes Khir Toyo: Peluang Umno Bersih Imej Hadapi PRU 13, semakin menjadi persoalan kini.
Dalam tulisan itu, SiasahDaily menulis: "Perkembangan ini membuka peluang kepada Umno untuk membersihkan imej parti itu di Selangor dan meletakkan calon yang lebih muda dan muka baharu di negeri yang dirampas Pakatan Rakyat pada 2008 itu.
"Kes Khir memberi gambaran bahawa pemerintah serius memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan."
Najib dilapor berkata martabat dan jawatan bukan jaminan tidak dikenakan tindakan kerana rasuah, merujuk kepada kes Datuk Seri Mohd Khir Toyo.
Walau bagaimanapun, tindakan terhadap Khir lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan yang pasti.
Tindakan terhadap Khir menimbulkan spekulasi tentang persaingan merebut kedudukan dalam Umno di Selangor, yang berharap merampas negeri itu dalam pilihan raya akan datang.
Dalam hal ini, tindakan itu kelihatan seperti satu tindakan pembersihan dalaman dicetuskan oleh Umno sendiri.
Tindakan itu juga berlaku terlalu lama - dan selepas Khir tidak lagi menjadi menteri besar - selepas laporan-laporan awal terhadapnya timbul.
Keseriusan membanteras rasuah tidak cukup dengan hanya mendakwa Khir yang kelihatan sebagai satu token, atau hanya untuk memenuhi syarat minima, tetapi perlu dibuktikan dengan pendakwaan seorang yang berjawatan lebih tinggi dan masih lagi memegang jawatan, dan lebih penting, bukan individu kurang penting yang hendak dikorbankan. - siasahdaily.blogspot.com
No comments:
Post a Comment