Thursday, December 16, 2010

Projek KLIA2 jimat RM1.5 bilion

SEPANG 15 Dis. - Kos pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang baru atau KLIA2 dapat dikurangkan sebanyak RM1.5 bilion dengan menggunakan kaedah pengurusan nilai.

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Dr. Aris Othman berkata, melalui kaedah itu juga, MAHB berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM51 juta atau 17 peratus daripada projek-projeknya yang bernilai RM303 juta pada tahun ini.

Selain itu, katanya, kaedah itu turut mencatatkan penjimatan RM62 juta atau 28 peratus daripada jumlah nilai projek RM232 juta pada 2008 dan RM33 juta atau 10 peratus daripada projek bernilai RM339 juta pada 2009.

''Dengan kaedah ini, ia dapat memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberikan nilai wang dan tidak berlaku pembaziran.

''Dengan penjimatan yang begitu ketara ia dapat membuktikan bahawa kita dapat membezakan antara fungsi dan kehendak," katanya pada majlis Pelancaran Manual Pengurusan Nilai MAHB dan Penganugerahan Sijil Sistem Pengurusan Keselamatan Lapangan Terbang di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad.

Laporan sebelum ini memetik Bashir sebagai berkata, pembinaan KLIA2 dijangka melibatkan kos yang lebih tinggi daripada jangkaan awal sebanyak RM2 bilion.

Ia ekoran kelewatan akibat beberapa perubahan dalam reka bentuk bagi tujuan keselamatan dan kerja pembinaan landasan kedua yang mengambil masa lebih lama.

Bagaimanapun penjimatan dapat dilakukan melalui proses tender terbuka. KLIA2 yang mampu menampung 30 juta penumpang dijangka siap menjelang April 2012. 

Aris berkata, pengurusan nilai adalah satu kaedah 'perkakasan pengurusan' bagi mengenal pasti fungsi, keperluan dan kehendak berbanding kos dan masa secara sistematik dalam membuat keputusan yang lebih tepat bagi mendapat nilai pulangan wang yang terbaik. 

Katanya, MAHB juga merupakan organisasi pertama kerajaan yang menyediakan manual bagi garis panduan kaedah pengurusan nilai yang bersesuaian dengan prosedur perolehan untuk dipraktikkan di negara ini.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata, kerajaan juga mewajibkan pelaksanaan pengurusan nilai dalam perancangan program dan projek kerajaan yang bernilai RM50 juta ke atas dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Beliau berkata, kaedah itu merupakan pendekatan pelbagai disiplin dan inovatif untuk memastikan fungsi sesuatu reka bentuk, produk, dan perkhidmatan program dan projek yang lebih baik dan pada kos optimum tanpa menjejaskan tahap prestasi program dan projek.

''Proses ini melibatkan semua pihak berkepentingan dan pakar yang berkaitan.

''Oleh itu, untuk memastikan kejayaan pelaksanaan kaedah ini, semua prosedur pengurusan nilai hendaklah dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan, berpengalaman dan berkemahiran," katanya.

Pada majlis sama, lima lagi lapangan terbang yang dikendalikan oleh MAHB dianugerahkan Sijil Pengurusan Keselamatan Lapangan Terbang iaitu Lapangan Terbang Sibu, Bintulu dan Limbang di Sarawak, Alor Setar, Kedah dan Sandakan, Sabah.

Ulasan: Dengan pelaksanaan pengurusan nilai atau pun tidak, selagi UMNO memegang kuasa agak sukar untuk menjamin wang rakyat tidak disedut keluar melalui cara yang tidak sah. Pengalaman lama memerintah menyebabkan telah banyak cara untuk menyedut wang rakyat. 

No comments: