Friday, April 17, 2009

Dasar PPSMI bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan

Tajuk asal: MP PAS Tumpat “Dasar PPSMI bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan”

Disalin daripada: http://mppas.wordpress.com/2009/02/18/mp-pas-tumpat-dasar-ppsmi-bercanggah-dengan-perlembagaan-persekutuan/

Tuan Yang di-Pertua, saya mendengar jawapan dan ulasan daripada Yang Berhormat Menteri tadi sebagaimana soalan saya tentang NGO-NGO. Kita telah mendengar laporan bahawa dua hari yang lalu, GAPENA yang dipimpin oleh Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein telah pun meletakkan suatu laporan kepada polis berkaitan dengan percanggahan yang jelas dasar PPSMI ini bukan sahaja dengan Dasar Bahasa Kebangsaan tetapi dengan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang baru sahaja ditegur oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Diraja Baginda semalam bahawa mengarahkan semua warganegara supaya taat, menghormati dan menjunjung Perlembagaan Negara… [Tepuk]

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Tuan Yang di-Pertua, Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu bagi pihak Tuan Yang di-Pertua dan seluruh Ahli Dewan ini, saya ingin mengalu-alukan kehadiran rombongan daripada gerakan mansuh PPSMI, yang dipimpin oleh Yang Berbahagia Doktor Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Sasterawan Negara Pak Samad Said dan rombongan mereka dan mengalu-alukan kehadiran seluruh tetamu-tetamu kita yang lainnya.

6. Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Pelajaran menyatakan adakah kementerian telah mengambil kira pandangan dan desakan NGO-NGO daripada semua kalangan supaya kerajaan menarik balik dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Menteri Pelajaran [Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein]: Bagi pihak kementerian saya juga mengalu-alukan kehadiran semua pihak yang ingin mengambil bahagian dan juga prihatin berhubung kait dengan dasar ini. Tuan Yang di-Pertua, terdapat 17 pertanyaan yang menyentuh tentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. 

Daripada 17 pertanyaan yang dikemukakan, 12 daripadanya bertanyakan mengenai ketetapan kerajaan terhadap pelaksanaan dasar PPSMI; manakala pertanyaan selebihnya berkisar kepada pencapaian murid dalam Matematik dan Sains melalui peperiksaan awam serta hasil kajian-kajian dasar berkenaan.
Izinkan saya Tuan Yang di-Pertua menjawab kesemua pertanyaan tersebut secara serentak. Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan sedar bahawa banyak pihak menanti keputusan kerajaan mengenai hala tuju dasar PPSMI ini selepas enam tahun pelaksanaannya.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, soalan-soalan lain yang ada kaitan itu boleh disebut secara terperinci mana-mana satu.

Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Soalan-soalan lain Tuan Yang di-Pertua termasuk soalan daripada Yang Berhormat Tumpat - 17 Februari 2009, Yang Berhormat Bagan Serai - 17 Februari 2009, Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan - 18 Februari 2009, Yang Berhormat Hulu Rajang - 19 Februari, Yang Berhormat Pokok Sena - 24 Februari, Yang Berhormat Sik - 26 Februari, Yang Berhormat Batu Kawan - 2 Mac, Yang Berhormat Silam - 3 Mac, Yang Berhormat Alor Gajah - 5 Mac, Yang Berhormat Bachok - 10 Mac, Yang Berhormat Kuala Krau - 11 Mac, Yang Berhormat Permatang Pauh - 16 Mac, Yang Berhormat Kuala Kedah - 19 Mac, Yang Berhormat Bukit Mertajam - 19 Mac, Yang Berhormat Kubang Kerian - 19 Mac, Yang Berhormat Kota Raja - 19 Mac dan Yang Berhormat Tenggara - 19 Mac.

Tuan Yang di-Pertua: Sila teruskan.

Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kerajaan sedar bahawa banyak pihak menanti keputusan kerajaan mengenai hala tuju, dasar PPSMI ini selepas enam tahun pelaksanaannya, saya memahami situasi tersebut. 

Namun saya ingin memaklumkan kepada Dewan ini bahawa dasar pelaksanaan PPSMI adalah suatu perkara yang sangat penting dan banyak aspek perlu dilihat dan dikaji dengan mendalam terlebih dahulu termasuk aspek kurikulum, kesediaan murid dan guru, penilaian program, kos pelaksanaannya serta kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada keupayaan negara untuk terus berdaya saing di peringkat global.

Keupayaan ini khusus merujuk kepada kemampuan kita dalam bidang sains dan teknologi yang semakin memerlukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta kemampuan menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara. 

Penelitian dalam aspek-aspek tersebut adalah dituntut sebelum kerajaan menentukan hala tuju dasar PPSMI ini. Pada masa yang sama, kita harus juga memikirkan jalan terbaik khususnya bagi cohort murid yang terlibat iaitu kelompok murid yang telah menguasai dasar ini dan juga kelompok murid yang sebaliknya tanpa merugikan mana-mana kelompok murid tersebut.

Sehubungan itu, kementerian bertanggungjawab mencadangkan kepada Jemaah Menteri untuk memutuskan cadangan yang terbaik demi masa depan generasi muda negara.

Penyediaan analisis menyeluruh dan kertas cadangan mengenai hala tuju PPSMI sudah pun berada pada peringkat akhir dan insya-Allah dalam masa terdekat ini kertas ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

Tuan Yang di-Pertua, kementerian telah bersikap terbuka untuk mendengar, mengumpul dan juga menganalisis pandangan setiap satu daripada pihak yang berkepentingan dalam pendidikan ini. Sehubungan ini selain daripada kajian, penilaian dan perbincangan melalui pelbagai mesyuarat di peringkat kementerian, terdapat lima siri persidangan meja bulat PPSMI yang telah diadakan sejak dari bulan Julai hingga Disember tahun lepas sebagai platform bagi mendengar pendapat, hujah dan keluhan semua pihak.

Di samping itu dua mesyuarat khas profesional juga turut diadakan. Suka saya memaklumkan kepada Dewan ini persidangan tersebut telah berjaya melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. Ahli-ahli Parlimen, profesional pendidikan termasuklah pegawai-pegawai kanan kementerian, penyelidik-penyelidik dari universiti-universiti tempatan, ahli akademik, pentadbir sekolah termasuk guru-guru dari semua jenis sekolah dan lokasi, badan profesional, badan korporat, pemimpin politik sama ada pihak penyokong kerajaan mahupun pembangkang, pemimpin komuniti, JKKK, PIBG, NGO dan kesatuan guru serta orang perseorangan dari luar negara pun terlibat sama.

Melalui persidangan tersebut, lebih daripada 30 kertas dibentangkan dan dibincangkan yang meliputi penilaian pelaksanaan PPSMI, analisis keputusan peperiksaan awam dan keputusan ujian diagnostik, kajian mengenai tahap pencapaian murid, kajian kompetensi guru, kajian oleh pihak luar KPM termasuklah dari universiti tempatan serta Kementerian Pelajaran Negara Brunei Darussalam. 

Di samping itu, mesyuarat perbincangan PPSMI bersama persatuan-persatuan dan kesatuan guru telah juga diadakan dengan penglibatan sebanyak 25 persatuan dan kesatuan guru seluruh negara. Namun begitu, saya telah mengarahkan kementerian mengambil sikap berkecuali dalam kesemua perbincangan yang telah diadakan agar sebarang perkara yang dibangkitkan dapat diterima dengan hati yang terbuka.

Walaupun kita telah mendapatkan pelbagai pandangan dan cadangan melalui pelbagai medium, tetapi ianya bukanlah satu formula yang dapat menyelesaikan semua permasalahan yang timbul dalam menentukan masa depan dasar ini. Akan tetapi, saya ingin memberi jaminan seperkara yang pasti bahawa empat perkara pokok dalam apa jua keputusan yang dibuat akan mengambil kira:

(i) kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus dimartabatkan;
(ii) penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar akan di perkasa;
(iii) kompetensi guru dalam mengajar Sains dan Matematik akan diutamakan; dan
(iv) pencapaian para murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik akan
terus dipertingkatkan.

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, kementerian ingin mengucapkan rasa penghargaan dan berterima kasih di atas segala kerja sama daripada semua pihak yang terlibat dalam memberi pandangan dan cadangan-cadangan.

Di sini, saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Allahyarham Yang Berhormat Dato’ Razali bin Ismail, mantan Timbalan Menteri Pelajaran yang sehingga akhir hayatnya begitu komited kepada segala agenda pendidikan yang dilaksanakan khususnya dalam usaha kita menilai semula dasar PPSMI ini.

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Menteri Pelajaran. Pertama-tamanya supaya jelas, kita ingin menjelaskan Tuan Yang di-Pertua bahawa kita bukan penentang bahasa Inggeris, kita bukan penentang ilmu Sains, kita bukan penentang ilmu matematik… [Tepuk] 

Malah, kita menggalakkan penguasaan bahas Inggeris dan kita mahu masyarakat kita semuanya pintar dalam bidang sains dan matematik.

Tuan Yang di-Pertua, saya mendengar jawapan dan ulasan daripada Yang Berhormat Menteri tadi sebagaimana soalan saya tentang NGO-NGO. Kita telah mendengar laporan bahawa dua hari yang lalu, GAPENA yang dipimpin oleh Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein telah pun meletakkan suatu laporan kepada polis berkaitan dengan percanggahan yang jelas dasar PPSMI ini bukan sahaja dengan Dasar Bahasa Kebangsaan tetapi dengan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang baru sahaja ditegur oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Diraja Baginda semalam bahawa mengarahkan semua warganegara supaya taat, menghormati dan menjunjung Perlembagaan Negara… [Tepuk]

Kita membaca dalam laporan bagaimana Sasterawan Negara A. Samad Said mengatakan 50 tahun lagi Utusan Malaysia dan Berita Harian akan sekadar menjadi sisipan kepada News Strait Times sahaja. Hari ini rombongan daripada Gerakan Mansuhkan PPSMI ada bersama dengan kita. Dua hari yang lalu, dalam The Stars, Bekas Timbalan Menteri Pelajaran dan Presiden MCA sendiri mengatakan dengan izin, mother tongue is better. 

Jadi, Tuan Yang di- Pertua ini adalah masalah-masalah yang kita hadapi. Jadi, saya ingin tahu secara jelas sebagai Menteri Pelajaran yang terpaksa melaksanakan dasar ini disebabkan oleh keputusan Perdana Menteri yang lalu, yang dilaksanakan oleh Menteri Pelajaran yang lalu, sebagai Ketua Pemuda adakah Yang Berhormat sanggup untuk dilihat oleh sejarah untuk dilihat sebagai pemimpin Pemuda UMNO meletakkan hukum dan fatwa bahawa bahasa Melayu ini tidak layak untuk menjadi satu bahasa yang boleh
mengajar anak negaranya, warganegaranya, pelajarnya dalam ilmu sains dan matematik.

Adakah ini yang akan kita tinggalkan kepada masyarakat kita…

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Menyampuk]

Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Kepada negara dan kepada dunia bahawa kita memfatwakan dan menghukumkan bahawa bahasa Melayu ini lemah dan tidak layak untuk menjadi bahasa yang lengkap untuk pendidikan anak bangsa kita. Terima kasih.

Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Terima kasih

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Menyampuk]

Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Terima kasih Yang Berhormat di atas ucapan tambahan tadi. Saya sememangnya mengambil masa kerana hendak memastikan bahawa anak bangsa kita terbela. Kita bukan bermain politik di sini. Polisi dan dasar yang telah pun di gubal dilaksanakan telah pun berjalan enam tahun. Takkanlah dalam masa satu dua bulan selepas cohort terakhir yang telah melalui PPSMI ini, kita perlu membuat satu keputusan dan itu akan menentukan sama ada bahasa kebangsaan itu akan di martabatkan atau tidak?

Seperti dalam ucapan saya tadi, dalam jawapan saya tadi bahawa usaha kita untuk memastikan bahawa bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan sentiasa diperkasakan. Dalam konteks PPSMI diambil kira apa juga pandangan yang dibawa oleh pihak GAPENA dan juga siapa-siapa lagi yang terlibat dalam hal ini pun diambil kira. Apa yang paling penting di sini ialah supaya dalam kita hendak memartabatkan bahasa, dalam kita hendak memastikan anak-anak kita dapat menguasai bahasa Inggeris juga, dalam kita untuk memastikan anak-anak kita juga dapat meniti arus teknologi sains dan matematik. 

Dasar-dasar yang sebelum ini, selepas enam tahun cohort melaluinya, masanya telah pun sesuai untuk kita ambil kira semua pandangan dan juga hujah-hujah pihak-pihak berkepentingan.

Cuma, dalam apa juga keputusan, kita perlu realistik. Kalau kita buat keputusan hari ini pun Yang Berhormat, pelaksanaannya selepas mengambil kira apa yang terpaksa kita lakukan dalam konteks kurikulum, dalam konteks perkakas, dalam konteks pendidikan guru, ianya tidak boleh dilaksanakan esok. Cuma, apa yang saya harapkan bahawa pandangan-pandangan yang saya alu-alukan daripada semua pihak itu diambil kira, berikan pandangan kepada kita, kita fikirkan apa yang terbaik. Keempat-empat perkara yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi sebenarnya ialah dengan ikhlas untuk memastikan anak bangsa kita terbela dalam dunia yang semakin sempit pada hari ini.

[Sesi soalan jawab lisan pada 17 Februari 2009] dari Hansard Parlimen kita.

Rujuk  http://profabdullah1.wordpress.com/2009/02/21/mp-pas-tumpat-dasar-ppsmi-bercanggah-dengan-perlembagaan-persekutuan/

No comments: