Thursday, April 30, 2009

Akademi Fantasia Kian Hanyut

Oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi

Saya menerima beberapa e mail dari rakan - rakan yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap satu program realiti TV yang semakin hanyut jauh ke kancah maksiat . 
Terdapat beberapa adegan berpeluk - pelukan antara pelajar lelaki dan guru perempuan sebaik sahaja peserta lelaki tersebut diisytihar keluar dari akademi tersebut .

Rangkul peluk dan bercium pipi, Ustaz! Begitulah ayat kawan saya lewat email yang dihantar . 

Saya bukanlah anti hiburan justeru hiburan dibenarkan oleh syara' . Apa yang jadi masalah ialah apabila hiburan dicemari oleh adegan dan aksi yang mengundang murka Allah swt.

Saya difahamkan ada pengkritik konsert Akademi Fantasia ini menyebut Alhamdulillah, syukur awak telah berjaya menyampaikan lagu ini dengan baik sekali dan Alhamdulillah tarian awak juga cukup menghiburkan!.........[sedang penyanyi itu berpakaian seksi habis dan menari pula dengan gaya liuk lintuk mengiurkan].

Saya hanya tersenyum membaca celoteh geram seorang kawan mengenai perkembangan Akademi Fantasia ini . Saya tidak sempat untuk mengikuti perkembangan Akademi Fantasia kecuali sekali semasa era Mawi menyertai Akademi Fantasia. Aura Mawi berjaya menarik perhatian saya untuk sesekali menonton persembahannya jika berkesempatan.

Sejak dulu lagi, Akademi Fantasia telah ditegur oleh pihak Dewan Pemuda PAS Pusat agar tidak menampilkan aksi yang mengundang keruntuhan moral, juga teguran terhadap adegan pelajar dan guru berpelukan serta pergaulan bebas di dalam apartment akademi dan juga perlakuan di atas pentas.

Berhibur dan berseronok tidak salah tetapi mestilah mematuhi batasan agar tidak mengundang dosa dan murka Allah swt.

Seronoklah buat seketika di atas pentas. Tenggelam dibawah silau cahaya lampu dan hanyut dibuai fantasi serta teruja dek sorakan penonton yang menyokong. Tapi....bagaimana dengan pemerhatian Allah swt? Saya tahu, sebahagian besar peserta Akademi Fantasia ini adalah beragama Islam malah sebahagiannya bertudung. Saya yakin mereka faham maksud saya apabila saya bercakap soal dosa dan batasan pergaulan serta penampilan dalam hiburan.

Mestikah untuk menjadi seorang penghibur maka mesti berpakaian seksi, dedah dan berpakaian ketat? Mestikah juga membuat tarian menggiurkan sehingga merangsang syahwah penonton? Mestikah lelaki dan perempuan bergaul sebebas itu sehingga berpelukan dan bersilang tangan untuk bergelar bintang pujaan?

Penghibur yang baik mestilah mempunyai kreativiti tinggi untuk menghiburkan penonton tanpa perlu menjaja maruah dengan pendedahan aurat dan mempertaruhkan moral dengan pergaulan bebas lelaki dan perempuan serta melampaui batas yang dibenarkan oleh syara'.

Penghibur seperti ini sebenarnya bukan penghibur tetapi pemusnah masa depan diri dan masyarakat dengan menjerumuskan mereka ke lembah maksiat dan murka Allah swt.

Saya benar-benar yakin, bahawa rakan-rakan artis yang beragama Islam khasnya sangat tahu nilai moral, akhlak dan batasan dosa dan pahala . Malang mereka gagal mengawal diri agar tidak terjebak. Mereka biar diri mereka menjadi korban nafsu yang hanya menanti azab kelak di akhirat.

Inilah masalah kepada dunia artis. Dunia yang sangat jauh dan asing dengan ilmu agama dan petunjuk Allah swt . Mereka mempunyai dunia dan planet mereka sendiri yang sukar diselaraskan dengan kehendak agama.

Saya masih yakin , jika kerajaan ini adalah kerajaan Islam atau paling tidak kerajaan yang bermoral dan mesra agama, dunia hiburan negara masih boleh diselamatkan agar tidak keterlaluan meniru gaya dunia artis dari barat yang tidak bertuhan.

Sebagai contoh di akademi fantasia , penganjur boleh adakan slot solat berjamaah setiap waktu dan setiap kali selepas solat atau paling tidak selepas subuh dan maghrib adakan siri tazkirah dan kuliah agama oleh ustaz-ustaz yang berilmu. Agar lahir seorang penghibur atau penyanyi yang bukan sahaja tahu batas dosa pahala tetapi benar-benar memahami tanggungjawab mereka seorang muslim .

Sekurang-kurangnya, melalui tazkirah agama menjadikan mereka benar-benar bertanggungjawab dalam bidang hiburan bukan untuk menambah dosa dan memerangkap manusia dalam kepungan mungkar.

Memang kedengaran pelik untuk adakan tazkirah dan solat berjamaah di Akademi Fantasia, tetapi boleh dilakukan bahkan wajar dilaksanakan. Hebat manapun artis dan setinggi mana ia mendapat pujaan dan anugerah ia tetap makhluk Allah yang mesti solat mengabdikan diri kepada Allah swt. Sementara tazkirah itu satu peringatan agar tidak leka dan alpa sehingga melakukan sesuatu yang keterlaluan dan mengundang murka atau bala Allah swt.

Peraturan dan ketetapan boleh dibuat oleh pihak berkuasa dan ia mesti dipatuhi . Masaalah yang kita hadapi ialah pihak berkuasa sendiri tidak memiliki kesedaran yang dimaksudkan sebalik turut menggalakkan maksiat dan mungkar. Benarlah kata hukama' manusia berada di atas cara hidup pemimpin mereka .

Hari ini ramai orang menganggap agama sebagai penghalang dan ini adalah salah sangka yang sengaja ditiupkan oleh musuh Islam dan golongan orientalis untuk menimbulkan fitnah dan rasa jelek masyarakat terhadap Islam. Padahal Islam tidak datang untuk menghalang tetapi mengislah atau memperbaiki keadaan agar menjadi baik.

Sebagai contoh, umum mengetahui betapa manusia perlukan hidup berpasangan. Lelaki perlukan perempuan maka demikian sebaliknya. Maka kedatangan Islam bukan menghalang fitrah ini tetapi mengislahkannya dengan sedikit peraturan seperti ijab qabul agar tidak berlaku perlakuan zina, sumbang mahram, rogol, lesbian, homoseks dan pergaulan bebas kerana ia merosakkan jiwa dan membinasakan nasab keturunan .

Demikianlah jua dengan hiburan. Islam datang tidak menghalang hiburan kerana memahami manusia perlukan hiburan. Tetapi Islam memulihkan keadaan hiburan agar tidak cemari oleh arak, dadah, pil ectasy, pergaulan bebas, pengabaian terhadap solat dan pendedahan aurat termasuklah lirik lagu yang tidak memuja nafsu atau mendorong ke arah penguasaan nafsu. Selebihnya berhiburlah dan ia dibenarkan oleh syara' .

Kalau kita dengar ucapan penyanyi sewaktu menerima anugerah atau pujian orang terhadap persembahan mereka, spontan mereka menjawab “Syukur, Alhamdulillah! Tanpa izin Allah, saya tidak akan sampai ke tahap ini!” .....[biarpun sedang ia berucap dengan kalimah demikian, pakaiannya mendedahkan separuh dada dan kainnya terbelah ke paras pangkal paha dan bersilang tangan dengan teman lelaki.]

Ertinya mereka keliru dan masih memiliki aqidah biarpun sekelumit dan saya percaya mereka masih ada harapan untuk dididik dan diselamatkan. Cuma kerajaan atau pihak berwajib mesti adakan program kesedaran dan motivasi keagamaan yang berkesan dan berterusan untuk mereka.

Jangan hanya mereka tahu menyebut kalimah Alhamdulillah tetapi mereka mesti kenal siapa Allah swt dan bagaimana untuk bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan Allah swt.

Dari: http://www.detikdaily.net/v5//modules.php?name=News&file=article&sid=1510&mode=thread&order=0&thold=0

Ulasan: Kalau benar sayangkan sesiapa saja, terus berikan dia nasihat agama...

No comments: