Friday, April 24, 2009

Hukuman berat atasi jenayah syariah

PUTRAJAYA 23 April - Hukuman lebih berat termasuk sebat perlu dikenakan terhadap pesalah syariah bagi membendung peningkatan jenayah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, sering kali hukuman kesalahan syariah diputuskan dalam bentuk denda sahaja sehingga ia menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan statistik jenayah syariah.

Justeru beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti kajian mengenai cadangan bagi meningkatkan bentuk hukuman jenayah syariah yang ketika ini dianggap agak ringan.

''Saya percaya dalam sesetengah penghakiman kes-kes jenayah syariah, terdapat hakim yang menjatuhkan hukuman sebat.

''Namun, perkara yang sering bermain di minda ialah sejauh mana pelaksanaan hukuman itu dilaksanakan di Malaysia kerana banyak kekeliruan yang timbul,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jakim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama ialah timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Menurut Jamil Khir, hukuman yang berat termasuk sebat wajar dikenakan bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah tetapi peruntukan undang-undang hanya menyediakan hukuman yang rendah.

''Mengikut Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984), hukuman yang boleh dikenakan sekadar tidak lebih daripada enam kali sebatan, denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun.

''Jadi kita hendak melihat persepsi ini dirombak dan kita mahu melihat keadilan itu diberikan kedudukan yang sebenar.

''Semangatnya ialah ke arah memperkasakan lagi bidang kuasa jenayah syariah dan hukumannya ditingkatkan lagi,'' katanya.

Justeru beliau berkata, sasaran kerajaan sekarang ialah meningkatkan kesepakatan antara agensi-agensi pelaksana seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan mahkamah syariah serta sivil.

''Kita tidak mahu undang-undang syariah ini menjadi perbahasan yang tidak putus-putus, jadi sasarannya (pelaksanaan undang-undang syariah) ialah apabila masyarakat, ulama dan pengamal undang-undang termasuk Jabatan Penjara dan polis mempunyai kesepakatan,'' katanya….

Ulasan: Berani buat berani tanggung risiko. Eloklah hukuman ta'zir menjadi berat supaya lebih sedar risiko membuat maksiat dan bertambah baik bila keluar penjara. Selamanya ini di permainkan saja. Tetapi perkara ini jangan sampai terlupa bahawa negara kita begitu taat melaksanakan dan mengamalkan undang-undang kafir. Sibuk dengan hukum ta'zir, tapi jangan sampai terlupa untuk laksana hukum hudud. Padahal kita ada alternatif yang lebih baik, iaitu undang-undang Islam. Sekurang-kurangnya untuk kita, orang Islam.

No comments: