Thursday, April 30, 2009

Tegakkan Keadilan Tapi Jiwa Saya Masih UMNO...

Tajuk asal: Kini Baju PKR Tapi Jiwa Masih UMNO
Oleh AZIZI HJ ABDULLAH 
Kalau bukan disebabkan kes Mohd Fairuz ADUN Penanti yang letak jawatan baru-baru ini pun, kita sudah nampak di dalam PKR sebenarnya cukup banyak peleset dan polong UMNO berkeliaran. Mohd. Fairus letak jawatan bukan pasal kes rasuah sangat tetapi kerana angkara kawan tikam dari belakang dan yang tikam itu ahli PKR yang masih ada jiwa UMNO.

Tidak boleh dinafikan, sebahagian besar ahli PKR, terutama yang berjawatan semuanya bekas ahli Umno. Mereka masuk PKR sama seperti Datuk Sri Anwar Ibrahim yang menubuhkan PKR: kerana tidak mahu lagi bersama Umno/BN dan ada pula yang masuk PKR kerana wawasan yang cukup jauh, duduk dalam Umno pun tak ada apa yang dapat kerana nama mereka dibalck list pasal sokong Anwar.

Datuk Sri Anwar meletakkan inti pati perjuangan menentang ketidak adilan, rasuah, reformasi tetapi yang lain kebanyakannya tidak terjerap pun tuntutan perjuangan ini. Di dalam Umno dulu kebanyakan bergantung kepada Datuk Sri Anwar, maka apabila tertubuhnya PKR, mereka mengharap apa yang dimiliki oleh Datuk Sri Anwar dalam Umno akan ada di dalam PKR.

Apa yang silapnya?

Yang silap ialah kerana mereka terus membawa bungkusan, galasan, fail-fail malah perlembagaan Umno masuk ke pejabat PKR. Mereka membawa akta dan peraturan bisnes, penswastaan, lesen kontraktor dan slogan korporat Umno; esok mau makan siapa?

Mereka melaung ‘Reformasi’ dan ‘Keadilan’.

Tetapi pernahkah anda terfikir dan mendapat tahu, selepas mereka (terutama yang berjawatan) memasuki PKR, mereka telah bersedia duduk bersila, berhimpit sesak dalam saf mendengar tuan guru membaca kitab-kitab tentang hubbuddunya, hablumminannas. Pernahkah anda dengar setiap minggu ada usrah dari naqib-naqib?

Dalam ertikata yang lain, mereka tidak ada kitab untuk dijadikan pegangan perjuangan, iaitu kitab seperti yang ditulis oleh Fathi Yakan “Kenapa Aku Memilih Islam” dan lain-lain. Ertinya dalam perjuangan PKR, tidak ada satu kitab rujukan “Kenapa Saya Masuk PKR?”

Saya menulis begini hanya sebagai satu tamsil dan ibarat sahaja. Dalam ertikata yang lain, seseorang yang ingin menyertai sesebuah parti politik, ia perlu ditanam pancang yang kuat.

Pas (bukan nak puji tak tentu hala) yang partinya berdasarkan kepada perjuangan Islam, menegak Islam, meletak Qur`an di atas, maka ahli-ahlinya terlebih dahulu mengenali Islam serta cabangnya sedikit sebanyak. Selepas itu barulah mereka masuk Pas.

Maka atas alasan ini kita jarang mendengar, walaupun badai taufan kebendaan, kemewahan yang ditawarkan kepada ahli-ahli Pas, jarang berlaku tunggang terbalik. Jarang malah hampir tidak ada Adun Pas yang boleh dibeli, letak jawatan atau lompat parti. Kelantan pernah berkuasa hanya dengan satu suara majoriti, tetapi orang lain tidak mampu memelompatklan seorang Adun tersebut.

Orang-orang PKR kenalah tanya, kenapa boleh jadi begitu? Ketika bersumpah hendak menjadi calon bertanding, wakil Pas dimestikan membuat perjanjian dengan sumpah, selain memberi bai`ah, taat kepada pemimpin, mereka diingatkan bahawa sepanjang mereka menjadi wakil mereka dilihat oleh Tuhan dan mereka adalah orang yang diberi amanah.

Apalah sangat dengan janji taat setia begitu? Sedangkan dalam mana-mana parti pun, perjanjian dan pengakuan seperti ini dibuat.

Bagaimana pun, perjanjian, pengakuan kedua-dua ini sangat berlainan. Pas ada roh janji setia berlandaskan Tuhan, keikhlasan, telus, amanah dan ini bukan menefesto, perlembagaan parti tetapi ia berasaskan taqwa. Orang yang tidak ada pancang taqwa ini tidak akan dapat menerima hakikat ini.

Maka kerana itu, saya memandang PKR, apa yang berlaku akhir-akhir ini, sama ada melompat, keluar dan letak jawatan, ia bukan berakhir dengan memilih orang lain bertanding. Ini masalah dalaman, masalah roh, masalah ketaqwaan.

DUN Penanti, bagi saya, letaklah siapa pun hal yang sama akan berulang. Datuk Zaharin bukan penyelesaian atau YB Malik bukan penyelesaian. Mereka sama seperti tokoh-tokoh yang lain, berakar umbi dari Umno dan apa yang berlaku kepada Fairus, bukan mustahil berlaku kepada juak-juak PKR yang lain.

Oleh kerana itu, Datuk Sri Anwar mestilah bertindak cepat. Beliau mestilah menubuhkan satu Jawatankuasa atau Majlis Ulama PKR. Wajibkan setiap pemimpin, YB-YB dan Jawatankuasa parti mengikuti kuliah, usrah dari Majlis Ulama. Tanamkan kepada mereka kewajipan berjuang, keikhlasan, kejujuran, ketelusan dan minta mereka belajar mengikis sekeping demi sekeping daki danur Umno yang ada di dalam diri mereka.

Cepat-cepatlah belajar dari Pas. Setiap AJK, pemimpin parti, Adun atau YB dimestikan mengikuti usrah bulanan. Di sana mereka akan ditarbiah secukupnya.

Kita bukan menuduh hal ini buta tuli. Kejadian di Bukit Selambau, di mana Manikumar di pilih menjadi calon, maka muncul bantahan-bantahan, kemudian sampai keluar parti.

Apa jadahnya hal seperti ini, kalau bukan kerana perjuangan hanya mahu pangkat dan kedudukan? Bukankah ini tidak ada tarbiah yang sepatutnya?

Adakah Pas jadi begitu? Minta dijauhkan Allah dari takbur. Di Kuala Terengganu atau di Bukit Gantang sepatutnya ada ahli Pas bangun berontak sebab yang terpilih mereka yang sudah jadi YB, tapi Alhamdulillah dengan kefahaman yang mereka miliki, dengan erti jihad, erti telus, erti jujur dan berjuang kerana Allah, tidak ada pun yang muncul berontak apa lagi yang keluar parti. Malah boikot jentera pun tidak.

Apa yang berlaku dalam PKR menggambarkan perjuangan mereka bukanlah satu perjuangan yang memiliki kelainan, malah mereka masih berjiwa Umno walaupun sudah lama berbaju PKR.

Sokongan rakyat sekarang Alhamdulillah. Tetapi ia bukan seratus peratus kepada PKR sebaliknya rakyat mahukan satu perubahan, satu alternatif dan perubahan atau alternatif itu ada pada PR. Mood rakyat sekarang bukan kepada BN maka apa saja yang ada untuk mereka memilihnya, mereka akan memilih bukan Umno/BN.

PKR perlu muhasabah tentang ini. Yang jujur dalam PKR hanya seorang saja, iaitu Datin Sri Wan Azizah yang sanggup melepas kawasan kepada Datuk Sri Anwar. Tapi itupun kerana Datuk Sri Anwar. Mungkinkah akan dilepas jika bukan Datuk Sri Anwar?

Apapun cara penyelesaian yang dibuat kepada bekas Adun Penanti itu tidak akan dapat menjamin PKR dari tidak berlaku lagi. Yang mesti dikutuk ialah kepada orang yang menikam Fairuz dari belakang dan orang-orang seperti inilah yang mesti ditarbiah secukupnya kerana orang seperti inilah berbaju PKR tetapi jiwa tetap Umno; Umno dalam konteks ini ialah sikap dan karenah, feel keUmnoan apabila berada di dalam PKR.

Di Pulau Pinang, maaf cakaplah kerana saya tidak belajar politik tinggi. Tetapi dalam telaah dan firasat, tak seorang pun dari kalangan pemimpin PKR boleh menjamin ia tidak akan berulang seperti apa yang berlaku kepada Fairuz. Ia akan berulang. Ia pasti berulang selagi jiwa mereka jiwa Umno.

Atas alasan apa telaah dan firasat ini?

Bacalah dan lihatlah lenggok lenggang, langkah-langkah, dongak dan senyum, gaya dan stail. Mereka masih 80% Umno hanya 20% sahaja PKR. Yang boleh bertahan pun kerana Lim Guang Eng duduk di atas.

Mahukah kita menerima kenyataan ini?

http://aziziabdullah.blogspot.com/2009/04/kini-baju-pkr-tapi-jiwa-masih-umno.html

No comments: