Thursday, April 23, 2009

Pandang serius isu murtad

KUALA LUMPUR 22 April - Orang Melayu di negara ini digesa memandang serius isu murtad di kalangan mereka termasuk penganut agama Islam daripada keturunan lain.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ann Wan Seng berkata, antara faktor utama berlaku kes murtad ialah kurangnya penekanan solat di kalangan anak-anak Melayu terutamanya di bandar besar.

"Masih ramai yang tidak tahu membaca al-Fatihah sedangkan surah itu ialah bacaan wajib dalam solat,'' katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku beliau bertajuk Murtad-Jangan Pandang Sebelah Mata di Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Buku tersebut dilancarkan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Wan Seng berkata, sikap orang Melayu terhadap penghayatan Islam juga merupakan salah satu sebab mengapa saudara baru Islam di negara ini murtad kerana mereka terasing, tidak dididik dan dipinggirkan. 

Selain itu katanya, terdapat gerakan terancang yang beroperasi untuk menarik umat Islam bagi melepaskan pegangan akidah mereka. 

"Konsep kebebasan beragama telah disalah tafsir oleh segelintir pihak. Kebebasan beragama difahami sebagai kebebasan untuk keluar daripada mana-mana agama dan kebebasan untuk menyampaikan agama kepada orang lain termasuk Islam.

"Ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang tertakluk pada Perkara 11(4) iaitu tidak boleh dikembangkan kepada orang Islam," ujarnya.

Beliau yang juga penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Selangor 2009 berkata, sudah masanya isu murtad tidak lagi disembunyikan.

Menurutnya, isu murtad ialah satu isu yang sangat sensitif bagi umat Islam dan jarang dibicarakan secara terbuka.

''Ia seharusnya menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memelihara pegangan akidah umat Islam yang lain. Dalam soal akidah, kita tidak boleh ada kompromi,''" katanya.

Wan Seng berharap buku tersebut dapat mencetuskan kesedaran terhadap bahayanya murtad khususnya kepada anak-anak Melayu dan Islam.

Ulasan: Semoga Allah kekalkan hidayatNya kepada kita yang beragama Islam dan terus berdakwah mengajak orang lain kepada Islam. Semoga Allah berikan hidayatNya kepada kawan-kawan kita yang belum lagi memeluk Islam.

No comments: