Monday, May 17, 2010

Tiga guru cekal di pedalaman : TQ cikgu...

Tiga guru Semenanjung cekal di pedalaman

PENSIANGAN 16 Mei - Terpaksa menaiki bot selama dua jam dan tujuh jam berjalan kaki untuk sampai ke sekolah tidak sedikit pun melemahkan semangat tiga pendidik ini bertugas di kawasan pedalaman Sabah.

Malah bagi Hamzah Abdul Kadir, 30, dan Mohd. Riduan Ahmad, 26, bertugas di sekolah pedalaman seperti Sekolah Kebangsaan Saliliran, di sini amat menyeronokkan.

Hamzah yang berasal dari Johor berkata, kekurangan yang dihadapi tidak boleh dijadikan alasan untuk memberikan yang terbaik dalam mendidik anak-anak di luar bandar.

"Apa yang perlu bagi seorang guru ialah ikhlas, bersemangat, berfikiran positif dan memberi yang terbaik. Bagi saya tidak ada tekanan menjadi guru di pedalaman," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau yang baru berkahwin tidak sampai setahun dan terpaksa meninggalkan isteri di kampung berkata, pengorbanan yang dilakukan itu semata-mata bertujuan mendidik murid-murid di situ yang rata-ratanya daripada keluarga miskin.

"Di kawasan ini tidak ada perhubungan seperti talian telefon, Internet, siaran televisyen atau radio. 

"Bagi menghilangkan rindu kepada isteri saya perlu menempuh perjalanan selama tujuh jam ke Pensiangan untuk berhubung melalui e-mel," ujarnya.

Hamzah yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia, Kemahiran Hidup, Sivik dan Pendidikan Moral berkata, semua itu perlu dilihat sebagai satu cabaran dan tidak akan sesekali mengalah dengan keadaan.

Rakannya, Mohd. Riduan dari Ipoh, Perak berkata, semangat yang kuat amat diperlukan apabila ditugaskan di pedalaman seperti di sekolah tersebut yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Dia yang sudah boleh bertutur dalam dialek etnik Murut berkata, adalah menjadi harapannya untuk melihat anak-anak di Saliliran mendapat pendidikan yang sempurna.

"Walaupun murid-murid di sini belajar di sekolah kayu yang serba-serbi kurang, mereka mempunyai kesedaran untuk menuntut ilmu dan ini yang membuatkan kami bersemangat," katanya.

Menurutnya, bagi mendapatkan barangan keperluan, setiap tiga bulan salah seorang daripada guru atau anggota tentera di situ akan keluar ke pekan untuk membelinya.

"Jarak untuk ke pekan mengambil masa sehari, bermula dengan berjalan kaki antara empat hingga sembilan jam bergantung pada cuaca dan selepas itu perlu menaiki bot selama dua jam," katanya.

Bagi Mohd. Amir Nurafiq, 24, dari Petaling Jaya, Selangor, sekolah tersebut memerlukan pembelaan daripada kerajaan kerana serba kekurangan.

Jelasnya, sekolah itu yang menggunakan air graviti dan bekalan elektrik daripada generator, memerlukan asrama desa untuk menempatkan murid-murid dari kampung berhampiran.

Amir yang mengajar subjek Bahasa Inggeris berkata, murid dari Kampung Kabu, kira-kira lapan jam berjalan kaki ke sekolah itu, terpaksa tinggal di sebuah pondok semata-mata untuk bersekolah.

"Mereka tinggal dalam keadaan berhimpit-himpit, ahli keluarga mereka akan datang seminggu sekali ke sini kerana kedudukan Kampung Kabu yang jauh dan merupakan paling hampir dengan Kalimantan," ujarnya.

Ulasan: TQ cikgu. Siapa kami tanpa pengorbananmu.

No comments: