Monday, May 17, 2010

Rakyat muak politik wang BN

Rakyat muak politik wang BN- Nik Aziz 
Mohd Nor Yahya  

KOTA BHARU, 17 Mei: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi parlimen Sibu semalam kerana rakyat sudah muak dengan politik wang.

Beliau berkata, Umno dan BN menghina rakyat dengan membeli mereka seperti membeli ayam dan itik di pasar.

Binatang ternakan boleh dibeli, tetapi jika manusia pun ingin dibeli, jelas sekali manusia sudah ingin disamakan dengan ayam itik.

”Harap Umno dan BN sedar, tidak semua manusia boleh dibeli. Taburlah berlian dari langit sekalipun, prinsip bukan barang dagangan
, kami di Kelantan sudah lama kenal perangai Umno,” kata Mursyidul Am PAS di sini.

Pada pilihan raya kecil parlimen Sibu semalam calon DAP Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kaum Cina di negara ini terbukti menolak BN seperti dilakukan di Hulu Selangor dan Sibu serta siri pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

Katanya laungan ketuanan Melayu dan menjulang keris di khalayak ramai di kalangan pemimpin Umno tidak lebih sebagai slogan ’buaya darat’ yang mencari mangsa untuk dibaham.

”Ia bukan slogan suci, kenajisannya terbukti apabila royalti minyak kepada Kelantan dinafikan sedangkan negeri ini lebih 90 peratus rakyatnya orang Melayu,” katanya.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan tahniah kepada DAP yang mewakili Pakatan Rakyat menumbangkan BN di Sibu.

Beliau juga meluahkan rasa terkilan apabila keputusan pilihan raya kecil Sibu seperti dilenyapkan media massa daripada pengetahuan rakyat.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=26604:rakyat-muak-politik-wang-bn-nik-aziz&catid=1:utama&Itemid=50

No comments: