Monday, May 17, 2010

Lesen bola: Penghinaan terhadap semua agama

Penghinaan terhadap semua agama - Zaid 
Khamis, 13 Mei 2010 15:05 

KUALA LUMPUR - Pengumuman kelulusan lesen pertaruhan bola sepak kepada kumpulan Berjaya oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin merupakan penghinaan terhadap semua agama di negara ini, demikian kata Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin. 

"Tiada agama di dunia ini yang mengatakan judi itu membawa kebaikan. Dari sudut mana, sama ada sosial atau agama, yang menunjukkan adanya manfaat daripada perjudian?" beliau bertanya. 

Kelmarin, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri mengumumkan secara rasmi kelulusan lesen pertaruhan bola sepak semasa berlangsungnya temasya Piala Dunia bulan depan. Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein memberitahu bahawa kerajaan bersetuju mempertimbangkan secara serius cadangan meluluskan lesen judi pertaruhan sukan bagi mengelakkan perjudian haram yang dikatakan berleluasa di negara ini. 

Zaid menambah, selain penghinaan terhadap agama, kelulusan ini juga menunjukkan sikap kerajaan hari ini yang bukan mahu mengurangkan perkara-perkara haram bahkan menambah satu benda baharu. Hasil cukai atau lesen daripada perniagaan perjudian ini sebenarnya akan menghimpun hasil tidak berkat yang akan digunakan oleh kerajaan untuk pelbagai tujuan. 

"Seperkara lagi, ia akan membuka lebih pintu (maksiat) kepada orang Islam, walaupun kononnya ada larangan ke atas mereka. Kita tengok saja kedai 4 Nombor Ekor, Sports Toto dan sebagainya, langsung tidak ada penguatkuasaan larangan terhadap umat Islam (walaupun notis larangan dipamerkan)," katanya. 

"Dan berkemungkinan juga kelulusan ini menyebabkan ada pengarah-pengarah yang beragama Islam terbabit dalam aktiviti perniagaan tersebut." 

Tindakan terbaharu kerajaan ini adalah satu tindakan yang membelakangkan agama, bukan Islam sahaja tetapi agama-agama lain juga. Ia mendapat bantahan keras daripada pertubuhan-pertubuhan Islam serta ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk DAP. 

"Bagi saya, inilah masanya untuk semua institusi agama bersuara. Walaupun kita tahu judi telah lama wujud di negara ini, namun kelulusan lesen pertaruhan bola sepak ini adalah perkara baharu yang sedang diuar-uarkan. Jadi perlu ada reaksi daripada institusi-institusi agama. Kalaupun bukan institusi agama kerajaan, sekurang-kurangnya jabatan mufti perlu menentukan adakah cukup hanya dengan notis larangan terhadap orang-orang Islam berjudi," ujar Zaid lagi. 

Beliau seterusnya mengingatkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan perlembagaan yang telah menetapkan bahawa negara ini mempunyai agama dan agama persekutuannya adalah agama Islam. "Kalau sudah begitu kedudukannya, kenapa dibuat satu ketetapan yang bertentangan dengan Islam?" soalnya. 

Ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik kelulusan ini selepas menerima bantahan, Zaid berkata kerajaan perlu memikirkan sendiri apa yang terbaik. Pemerintah sepatutnya membina yang positif, bukan melangkah ke belakang. Tindakan seperti ini hanya menunjukkan sikap wewenang kerajaan dengan tidak mengambil kira kepentingan masyarakat. 

Bagaimanapun, beliau tidak nampak kerajaan akan menark balik keputusannya sekalipun menerima desakan yang kuat daripada rakyat. "Saya tak fikir mereka akan tarik balik walaupun desakan itu datang dari dalam anggota kabinet sendiri, kerana kerajaan tidak ada kekuatan moral untuk berbuat demikian," katanya. 

Namun menurutnya lagi, kerajaan patut tahu apa saja tindakannya akan dinilai oleh rakyat, dan pastinya ada implikasi keyakinan daripada rakyat terhadap kerajaan.

http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/33-nasional/329-kelulusan-lesen-judi-penghinaan-terhadap-semua-agama-zaid

No comments: