KELAPUKAN PEMIKIRAN PEMIMPIN
Sekarang bukanlah masa untuk bersenang-lenang, bersantai, dan sebagainya. Sekarang merupakan masa yang sangat sesuai untuk menghisab kekuatan dan kelemahan diri. Hampir separuh penggal telah berlalu sejak PRU Ke-12 diadakan. Sepanjang tempoh itu, dunia politik di Malaysia dihiasi dengan politik mundur dunia ketiga.
Yang tercabar bukan sahaja tidak mampu memikirkan cara terbaik untuk menawan kembali hati rakyat malahan juga bertempek-tempek dengan kedurjanaan dan kemungkaran. Apabila mereka cuba mengenakan lawan, tempelakan itu datang semula kepada mereka. Ketidakbolehan menampan arus serangan itu menyebabkan mereka bermain kotor. Maka politik berbalas serangan yang tidak menguntungkan rakyat ini menjadi budaya politik Malaysia.
Rakyat sudah jemu dengan teknik dan taktik yang telah diamalkan sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Mereka mahu melihat tindakan bukan percakaran. BN ada kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri untuk ditadbiruruskan. Pakatan ada kerajaan-kerajaan negeri yang wajib diurustadbirkan. Tidak bolehkah perkara ini diutamakan? Patutkah BN menyibukkan diri dengan menelanjangi keburukan Pakatan sedangkan mereka sendiri diselaputi pelbagai noda yang tidak mampu dibanteras?
Rakyat tahu BN gagal walaupun sudah lebih 50 tahun memerintah. Rakyat tahu terlalu sedikit yang boleh dilakukan oleh Pakatan dalam tempoh dua tahun lebih sedikit ini. Mengapalah perkara itu yang diulang tayang saban waktu? Cetek sangatkah kebolehan minda mereka? Jika demikian, tidak payahlah bersusah-susah untuk menjadi pemimpin.
Perihal negeri-negeri yang dikuasai Pakatan mendapat pujian pelbagai pihak telah dimaklumi oleh rakyat. Perihal jabatan-jabatan kerajaan berbelanja tidak berhemah juga telah diketahui oleh rakyat. Mereka tahu siapa yang lebih baik. Jika demikian, mereka akan menyokong Pakatan. Hakikatnya perkara itu tidak berlaku. Candu dalam bentuk rasuah politik juga yang mereka giankan.
Kini penagih rasuah politik yang tegar melebihi mereka yang bersih daripada noda itu. Pemimpin yang melakukannya dimuakan kerana institusi yang diberi tanggungjawab membanterasnya membutakan mata dan memekakkan telinga. Realiti yang semakin menyubur ini akan meruntuhkan kredibiliti ummah di Malaysia.
Mereka tidak kenal halal haram lagi. Mereka tidak peduli dosa dan pahala lagi. Hati mereka semakin jauh dengan petunjuk dalam Kitab Suci al-Quran. Sehubungan itu, PAS perlu menggembleng tenaga untuk memerangi kekufuran ini. Dana berjumlah RM20 juta tidak cukup untuk menawan Putrajaya. Dana untuk memenangkan Islam itu perlu digandakan dan diusahakan seberapa segera yang boleh.
Atas keyakinan bahawa hanya Islam yang mampu membetulkan semua kedurjanaan yang sedang bermaharajalela sekarang ini, seluruh umat Islam di Malaysia perlu menyahut seruan tersebut. Kita tiada pilihan lain. Musuh sudah berada dalam kelambu kita. Rasuah tidak menjadi sesuatu yang menjijikkan lagi. Keuntungan daripada hasil arak dan judi menjadi sebahagian daripada pendapatan negara. Pendapatan yang diterima oleh rakyat, termasuk imam, kadi, dan mufti masih bolehkah dianggap suci?
Posted by Drs Harun Jaafar
No comments:
Post a Comment