Politik lama yang diamalkan oleh UMNO-BN sudah hampir ke penghujungnya. Amalan tersebut hanya laku dalam kalangan masyarakat yang belum menikmati kemajuan, terutama dalam bidang pendidikan. Masyarakat seperti ini wujud di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Pada zahirnya, masih banyak kawasan yang tergolong dalam kategori ini di negara kita.
Namun demikian, usaha DAP, PAS, dan PKR mendekati golongan ini di Sibu, Sarawak telah membuka satu lembaran baru dalam lanskap politik Malaysia. Kesannya juga boleh dibanggakan. Oleh sebab itu, Pakatan Rakyat perlu menyusun strategi yang lebih komprehensif bagi mengeluarkan golongan ini dari kepompong yang dikawal ketat oleh UMNO-BN dengan menggunakan konsep kepatuhan tidak berbelah bagi kepada ketua. Ketua-ketua inilah yang dicukupkan serba-serbinya sebagai pengasahan taring yang menggerunkan anak buah mereka.
Pada masa yang sama, golongan ini menjadi begitu mudah ditundukkan. Sokongan mereka boleh dibeli dengan hanya sehelai kain pelekat, gula, beras, dan sebagainya. Namun demikian, riak-riak perubahan sudah dapat dilihat dengan jelas sejak belakangan ini. Orang Asli sudah mula tunjuk taring. Orang Iban di rumah panjang pun sudah semakin berani dan cerdik.
Petanda-petanda ini perlu terus disemarakkan semaksimum mungkin. Berkat keikhlasan, kesungguhan, dan usaha yang berterusan, pemikiran golongan ini dapat diaktifkan untuk menyedari betapa jauhnya mereka disisihkan dengan sengaja oleh pemimpin-pemimpin yang berjuang untuk mengekalkan kuasa semata-mata.
Skuad khas untuk memisahkan kebergantungan masyarakat luar bandar dan pedalaman kepada UMNO-BN yang sia-sia itu perlu ditubuhkan dengan segera. Cukuplah setakat ini mereka dipergunakan semahu-mahunya. Penghormatan membabi buta terhadap UMNO-BN perlu dihentikan dengan secepat mungkin.
Mereka juga berhak menikmati kekayaan negara. Sebagai warganegara yang setia, mereka perlu dibimbing dan dilatih menggunakan kail yang dibekalkan bagi memperoleh sebanyak mungkin ikan hingga mampu menjadikannya punca pendapatan.
Kita percaya kekayaan negara ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat jika diuruskan dengan betul, bertanggungjawab, dan amanah. Sehubungan itu, rakyat perlu dididik supaya mudah menghidu apa-apa juga perlakuan tidak bertanggungjawab dan mampu bertindak dengan berani untuk membanterasnya.
Malaysia memerlukan pemimpin yang berwibawa untuk memacu rakyat supaya turut sama dalam agenda perpaduan tulen, berkongsi kekayaan negara seadil-adilnya, dan bergerak seiring ke mercu kejayaan. Tiada sesiapa pun yang tercicir tanpa pembelaan !!!
http://bilahrotan.blogspot.com
Ulasan: Selamat mendidik rakyat supaya mudah menghidu apa-apa juga perlakuan tidak bertanggungjawab dan mampu bertindak dengan berani untuk membanterasnya.
No comments:
Post a Comment