Tuesday, May 25, 2010

Sukarelawan gabungan NGO Malaysia ke Gaza

Pemergian Pengerusi Aqsa Syarif Ust Hasanuddin Mohd Yunus dengan diiringi oleh Wartawan Astro Awani En. Ashwad Ismail dan Shamsulkamal Bin Abdul Latip untuk menyertai Sukarelawan gabungan NGO Malaysia yang diketuai oleh Haluan dalam misi Lifeline4gaza  
Pengerusi Aqsa Syarif Ust Hasanuddin Mohd Yunus akan berangkat ke Istanbul pada hari Ahad 23 Mei diiringi oleh dua orang wartawan Astro Awani. Mereka dijadualkan akan berlepas dari KLIA sebelum tengah malam dan dijangka tiba pada awal pagi 24 Mei di lapangan terbang Kamal Attaturk. 

Mereka akan bergabung dengan lapan orang sukarelawan Malaysia yang sudah berada di pelabuhan Altanya bagi menyertai misi Lifeline 4 Gaza. Lapan orang sukarelawan tersebut yang diketuai oleh ketua misi Sdr Norazman Shamsuddin dari Haluan turut disertai oleh anggota misi dari Muslimcare, PACE/JIM, Aqsa Syarif dan juga Yayasan Amal. 

Aqsa Syarif amat menghargai penyertaan Astro Awani yang akan membuat liputan sepanjang perlaksanaan misi ini bermula dari pelayaran keluar flotilla dari pelabuhan Altanya, Turki sehingga tiba ke Gaza. Mereka akan terus membuat liputan sehingga anggota misi selesai memenuhi amanah menyampaikan barangan yang dimuatkan di atas sembilan buah kapal yang menyertai misi tersebut. Sumber berita yang diterima dari ketua misi iaitu Sdr Norazman, sukarelawan gabungan NGO dari Malaysia akan menaiki kapal Turki ‘Mavi Marmara’. Pihak kami juga dimaklumkan lebih dari 7,000 sukarelawan dari seluruh dunia sudah berada di Altanya untuk menyertai misi ini.

Kami memohon doa dari rakyat Malaysia agar semua anggota misi selamat melaksanakan amanah yang besar ini untuk menerobos tembok kematian yang telah mendatangkan penderitaan yang tidak terperi kepada penduduk Gaza. Semuga usaha gabungan dari seluruh dunia yang prihatin ini akan membuktikan bahawa regim Zionis Israel tidaklah sekebal yang diperlihatkan dan mereka akan tunduk juga kepada tekanan dari masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kezaliman dan kebiadapan ke atas rakyat Palestin terutama di Gaza.

Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus
Pengerusi
Aqsa Syarif Berhad
23 Mei 2010

No comments: