Oleh Mohd Sayuti Omar
MELALUI jalan sungai dari Kucing ke Sibu, Sarawak memberi pengalaman baru. Perjalanan selama kira-kira lima jam itu mempamirkan secara realiti apa yang diceriatakan orang sebelum ini. Kalau tidak melalui jalan ini mungkin apa yang dapat disaksikan itu tidak akan ditemui mata.
Untuk sampai ke Sibu, boat ekspress yang dinaiki singgah di dua persinggahan. Di Tanjung Manis dan Sarikei. Perjalanan dengan boat bukan membosankan kalau kita dapat mengambil manfaat darinya, memerhati pemandangan di sepanjang sungai berkenaan.
Ada dua perkara yang menjamah mata saya di sepanjang perjalanan itu. Pertama dapat melihat kehidupan sebenarnya rakyat Sarawak. Di sepanjang tebing terdapat perkampungan bumiputera. Sepanjang pinggir sungai Sarawak adalah penempatan yang popular. Terdapat ratusan buah pengkalan atau jeti di sepanjang perjalanan dari Kucing ke Sibu itu. Suasana rumah mereka yang relatif daif sungguh menyedihkan.
Dalam perjalanan itu saya teringat bagaimana susahnya rakyat Sarawak melalui kehidupan mereka. Suasana kehidupan mereka seakan belum berubah. Kemerdekaan negara selama 53 tahun seperti tidak terjangkau ke kampung halaman mereka. Mereka masih hidup dalam ruang lingkup mereka sendiri.
Situasi ini menyebabkan mereka tidak berubah. Jaraknya yang jauh untuk ke bandar menyebabkan mereka belum dipengaruhi kehidupan moden dan ini menyebabkan mereka kekal dalam budaya asal mereka.
Terbayang juga kepada guru-guru yang ditempatkan untuk berkhidmat di dalam daerah pedalaman itu. Betapa sukarnya mereka. Bayangkan kalau memerlukan lima hingga 10 jam untuk ke luar ke bandar seperti Kucing, Sarikei atau Sibu.
Sebelum menaiki boat atau perahu mereka terpaksa berjalan kaki keluar dari kampung ke jeti atau pengkalan berjam-jam. Untuk keluar ke jati ada yang bermotosikal tetapi banyaknya yang mengayuh kaki.
Selain pemandangan itu yang menghiasi sungai Sarawak, satu lagi pemandangan yang kontras dengan keadaan itu ialah kewujudan pengkalan (lodge) balak. Puluhan pengkalan balak di sepanjang kiri dan kanan sungai Sarawak dari Kucing ke Sibu. Kewujudan pengkalan ini menunjukkan penghasilan balak yang menjadi hasl semulvjadi di negeri itu masih rancak.
Kontrasnya semua pengkalan itu bukan milik rakyat asal. Tetapi ianya pemilik saudagar balak dari bandar-bandar besar seperti Kucing. Kalaupun rakyat asal terlibat hanya sebagai penggolek balak untuk dibawa ke dalam tongkang saja.
Di samping ratusan pengkalan itu juga kita akan menyaksikan berpuluh buah tonkang yang mudik ke hilir membawa ratusan batang balak. Semua balak itu diambil dari hutan di hulu. Perusahana ini berlangsung sejak beratus dekad lalu.
Melihat kepada deretan tongkang yang mudik ke hilir itu ia mencerminkan orang di hulu tidak susah lagi. Hasil balak dikira dapat membantu membangunkan kehidupan mereka. Hasil balak itu adalah anugerah Allah untuk bumi Sarawak dan semua penghuninya. Namun realitinya bukan begitu. Hasil dari hulu hanya mengenyangkan para taukeh dan ahli politik di hilir saja.
Balak-balak Sarawak di bawa ke luar negara. Penyelewengan dalam penjualannya menyebabkan hasil itu tidak pulang seluruhnya kepada negeri. Tidak sampai suku daripada hasil penjualan balak itu pulang ke negeri. Selebihnya ia masuk ke dalam poket taukeh dan orang politik di Sarawak.
Apabila diberi tahu itu menyebabkan saya termenung sejenak memikirkannya. Tiada jawaban mengenainya melainkan ia berlalu begitu selagi rakyat Sarawak tidak berani bertindak mengubah status quo yang ada hari ini. Dengan membiarkan kerajaan hari ini terus menguasai Sarawak maka balak-balak itu atau apa saja kekayaan di hulu milik rakyat Sarawak itu terus akan mengalir ke hilir memasuki poket dan karung orang-orang di hilir yang terdiri dari taukeh, ketua samseng dan orang politik. Tidak terkecuali juga ia masuk ke dalam poket Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud.
Keadaan rumah di tepi sungai ini berbeza di kawasan sekitar kawasan bandar. Rumah rakyat di bandar agak selesa. Namun kehidupan di tepi sungai itu walaupun ia menjadi kebiasaan tetapi ia sungguh menyedihkan. Setiap kali hujan lebat mereka akan digodam cemas kerana bimbang banjir akan menghanyutkan mereka.
Ulasan: Bersamalah mendidik rakyat supaya memilih ADUN dan AP yang amanah dan tidak makan rasuah.
No comments:
Post a Comment