Thursday, May 20, 2010

SPR: Kami tiada kuasa siasat, Najib berhak buat janji?

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa untuk menyiasat dakwaan DAP bahawa Datuk Seri Najib Razak telah menjanjikan peruntukan wang, yang disifatkan bertujuan mempengaruhi pengundi Sibu pada malam menjelang hari pengundian Ahad lalu. 

Sebaliknya SPR berkata, dakwaan ke atas Najib itu, yang janji-janji pilihan raya kecil dibuat atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan.

Selain itu SPR berpendapat, di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang secara umum menjurus kepada kesalahan dilakukan oleh calon atau ejen mereka, pihak-pihak lain yang membuat janji pilihan raya termasuk anggota Kabinet tidak boleh didakwa telah melakukan kesalahan menyogok atau melakukan rasuah pilihan raya.

“Kalau ada pihak hendak mengemukakan aduan kepada kami boleh, kami akan terima dan akan memanjangkan kepada pihak berkaitan iaitu dalam kes ini SPRM,” Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

“Kami tidak boleh melakukan siasatan sebagaimana perkara-perkara lain diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya... kami tiada kuasa (menyiasat).

“Ada perkara yang polis boleh siasat dan ada perkara yang kami boleh siasat.

“Tetapi perkara ini perlu disiasat oleh SPRM... terserah kepada SPRM menentukan tindakan susulan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Oleh itu kata Wan Ahmad, terserah kepada SPRM untuk menyiasat perkara yang didakwa oleh Pengerusi DAP Karpal Singh Isnin lalu berhubung janji yang Najib pada kempen malam terakhir di Sibu Sabtu lalu.

“Itu pandangan Karpal, tetapi isu ini memang tertakluk kepada bidang tugas SPRM... perkara ini memang di bawah bidang kuasa SPRM, SPRM yang boleh menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berkaitan,” katanya.

Sehari selepas keputusan pilihan raya kecil Sibu, peguam terkemuka itu mendakwa mendakwa Najib telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan menawarkan ganjaran bagi mendapatkan undi.

Isu memancing undi dengan peruntukan kewangan dan projek juga menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor tiga minggu lalu tetapi ia menjadi ketara apabila Najib menggunakan perkataan “jika”.

Karpal yang juga Ahli Parlimen mendakwa Najib melakukan kesalahan ketika kempen pilihan raya kecil Sibu apabila pada Sabtu lalu mengatakan “saya membantu, anda membantu saya.”

Karpal berkata kenyataan Najib itu sesuatu yang tidak wajar dan harus disiasat oleh SPRM.

Ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, dakwa Karpal sambil mendakwa ia telah mendorong pengundi pada malam menjelang hari pengundian, membuat perjanjian dengan mereka.

Najib membuat janji itu saat-saat akhir sebelum kempen berakhir di kubu kuat DAP bahawa akan menyediakan peruntukan RM5 juta bagi projek mitigasi banjir di Rejang Park jika calon Barisan Nasional (BN) menang.

“Jika Robert Lau menjadi Ahli Parlimen pada hari Ahad, pada Isnin saya akan meminta supaya cek disediakan. Boleh kita buat perjanjian? Kita buat! Anda mahukan RM5 juta, saya mahukan Robert Lau menang,” kata Najib yang juga Pengerusi BN ketika kempen ceramahnya itu.

Karpal mendakwa kenyataan Najib itu sesuatu yang “memalukan” dan “tidak pernah berlaku” sebelum ini.

“Saya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat Perdana Menteri. Ia satu kesalahan yang serius. Ia sangat jelas. Beliau berkata ‘kita adakan perjanjian, jika Robert Lau menang, kami akan memberi anda RM5 juta’,” kata beliau dengan merujuk kepada peruntukan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Ketika mengulas lanjut mengenai Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya, Wan Ahmad berkata, peruntukan itu lebih bersifat umum yang mana ia menjurus kepada calon yang bertanding atau ejen-ejen calon, tetapi bukannya mana-mana individu lain termasuk dalam kes semasa yang merujuk kepada Najib yang merupakan Menteri Kewangan.

“Ini bererti berkemungkinan tidak bermaksud bidang kuasa Menteri Kewangan, yang mempunyai kuasa untuk menjanjikan, mengagihkan sesuatu projek pembangunan, bajet pembangunan yang skopnya luas melibatkan pelbagai, sebagai contoh projek saliran (mitigasi banjir) dalam kes di Sibu,” katanya.

Kata beliau, selaku Menteri Kewangan Najib mempunyai kuasa untuk membuat pengumuman projek pembanguan dan peruntukan bagi projek-projek berkenaan.

“Saya rasa itu yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Seksyen 10 undang-undang itu secara khusus merujuk kepada elemen penyogokan.

Ia mempunyai sembilan subseksyen. Subseksyen 10(a) berbunyi: “tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.”

Seterusnya Wan Ahmad merujuk kepada kes rujukan yang diputuskan pada 1981 yang memutuskan bahawa bukan menjadi satu perbuatan rasuah dalam definisi Akta Kesalahan Pilihan Raya, sebaliknya selaras dengan tugas kerajaan semasa untuk membawa pembangunan, memberi peruntukkan tambahan dan sebagainya kepada setiap rakyat tidak kira waktunya.

Nas undang-undang yang dimaksudkan adalah kes membabitkan pilihan raya kecil Pengkalan Kota, melibatkan kes antara Teoh Teik Huat melawan Lim Kean Siew & Anor pada 1981.

Kes itu dibawa ekoran kenyataan Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Razaeligh Hamzah yang didakwa mengeluarkan kenyataan jika BN menang, beliau secara peribadi akan memberikan lebih banyak wang untuk pembangunan Pengkalan Kota.

Insiden lebih tiga dekad lalu dilihat mirip situasi yang disaksikan di Sibu Sabtu lalu.

[This is ini English: Tengku Razaleigh to the effect that if Barisan Nasional wins, he would personally give more money for the improvement of Pengkalan kota]. 

Dalam tulisa blognya dua hari sebelum pengundi Sibu keluar mengundi, penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, janji-janji pembangunan, peruntukkan tambahan dan projek pembangunan bukan merupakan “perbuatan rasuah.” “Itu adalah tugas kerajaan BN sebagai kerajaan persekutuan dan tidak melanggar mana-mana peruntukkan undang-undang pilihan raya.

“Justeru itu, adalah diharapkan dengan penjelasan yang tidak seberapa ini, segala polemik yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang adalah hanya polemik yang tidak tepat dan menyimpang dan berbentuk memperlekehkan kebijaksanaan pengundi-pengundi terutamanya Hulu Selangor, Sibu dan pembaca-pembaca blog saya amnya,” katanya.

Wan Ahmad juga menjelaskan, beliau juga pasti Najib menyedari risiko dan implikasi undang-undang jika membuat kenyataan sedemikian.

“Saya secara peribadi beliau (Najib) telah menerima nasihat daripada penasihat undang-undangnya sebelum membuat kenyataan itu,” katanya lagi.

Oleh itu kata Wan Ahmad, terserah kepada Karpal jika mahu membawa kes ini sama ada merujuk kepada SPR ataupun SPRM terus ataupun membawa terus ke mahkamah.

“Saya juga merasakan Karpal sebagai pakar undang-undang melihat kes ini dari perspektif beliau.

Dan, pakar undang-undang yang lain melihat dari sudut yang lain... ini tafsiran undang-undang,” katanya.- Malaysian Insider

Ulasan: Jom kita selesaikan melalui mahkamah. 

No comments: