harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Mei: Tindakan menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, Singapura tidak memeranjatkan kerana pulau Singapura sendiri pun telah diberikan begitu sahaja oleh pemimpin Umno sebelum ini kepada Lee Kuan Yew.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan penyerahan stesen KTMB Tanjung Pagar itu sebagai ulangan penyerahan Singapura pada 9 Ogos 1965.
"Pada 6 Februari 1819, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura untuk dijadikan tanah jajahan British melalui perjanjian dengan Stamford Raffles.
"Pada 9 Ogos 1965 pula, Perdana Menteri dan Presiden Umno waktu itu menyerah kalah kepada tipu muslihat politik Kuan Yew lalu menyerahkan Singapura begitu sahaja kepada pemimpin Singapura.
"Dan, Isnin lalu, pada 24 Mei 2010, Perdana Menteri dan Presiden Umno hari ini, (Datuk Seri) Najib melengkapkan penyerahan itu sambil mempersalahkan Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) yang ditandatangani pada 1990 sebagai alasan untuk melengkapkan penyerahan maruah kepada Singapura itu," katanya.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mendakwa, perjanjian antara Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong itu adalah jauh lebih baik berbanding pengunduran operasi KTMB secara berperingkat mengikut POA.
Mahfuz mempersoalkan, mengapa pengikut-pengikut Najib termasuk Abdul Ghani kelihatan mempersalah dan menggunakan alasan POA untuk mewajarkan perjanjian Isnin lalu.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, POA yang digariskan Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan ketika itu, sebenarnya tidak mendapat persetujuan kabinet.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu sependapat dengan pandangan pelbagai pihak supaya Najib membentangkan laporan khas mengenai perkara itu dalam sesi Parlimen akan datang.
Beliau kecewa dengan sikap Najib yang bertindak sama seperti Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menyerahkan wilayah Malaysia di Blok L dan M kepada Singapura.
"Najib sama seperti Abdullah, berlagak pandai tetapi hakikatnya tidak tahu menggunakan kuasa yang ada pada seorang Perdana Menteri untuk mempertahankan maruah dan nama baik negara," kata Mahfuz.
Beliau menyifatkan apa yang berlaku hari ini sama seperti apa yang berlaku pada tahun 1965 lalu apabila pemimpin Umno dengan mudah menyerahkan Singapura akibat kehilangan akal untuk menghadapi sepak terajang Kuan Yew untuk mengukuh dan memperluaskan kuasanya.
"Hari ini pun, kerana hendak berlagak lebih pandai dari pemimpin sebelum ini yang menangguhkan perlaksanaan POA itu, Najib mengulangi perbuatan menyerahkan maruah negara kepada Singapura," katanya.
Ulasan: Bila pemimpin buat hal....
No comments:
Post a Comment