Tuesday, May 25, 2010

Hentikan Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur

SM Mohamed Idris  

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat prihatin berhubung cadangan pembinaan Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) yang akan merentasi Taman Negeri Selangor, Banjaran Kuarza Klang Gates di Hulu Klang dan Hutan Simpan Hulu Gombak, Ampang dan Hulu Langat. 

Dilaporkan bahawa kerja untuk laluan barat KLORR, dari Taman Templer di Rawang ke Lebuh raya Karak telahpun bermula, dengan sebahagian Hutan Simpan Kancing sedang dibersihkan. Kami membantah permusnahan hutan yang amat bernilai ini. 

Sewaktu pelancaran rasmi 107,000 hektar Taman Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Taman Warisan Selangor) pada 2005, Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, telah menyatakan bahawa status taman itu sebagai hutan kekal yang akan memastikan bahawa tidak berlaku sebarang eksploitasi.

Fasa 1 melibatkan 91,114 hektar Taman Negeri Selangor telahpun diwartakan. Fasa yang seterusnya melibatkan Banjaran Kuarza Klang Gates yang merupakan yang terpanjang di dunia, sepanjang 14 km dilaporkan turut akan diwartakan. 

Di samping menjadi kawasan tadahan air penting bagi Selangor, hutan ini kaya dengan flora dan fauna termasuk spesies terancam seperti tapir, ungka, harimau bintang, burung kenyalang dan pelbagai reptilia, amfibia, serangga, ikan dan sebagainya. Ia juga merupakan kawasan rekreasi terkenal, warisan geologi dan menawarkan pemandangan persekitaran semula jadi. 

Mengubah hutan untuk membina jalan lingkaran luar mengundang bencana alam sekitar. Laluan jalan, pemotongan cerun dan sebagainya akan menyebabkan hakisan tanah yang serius dan larian air. Bukan hanya sumber air penting bagi Selangor yang akan terjejas, mendapan dalam sistem saliran juga akan turut menjejaskan kualiti air untuk kegunaan bagi minuman. 

Senarai kesannya kepada alam sekitar dan orang ramai amat besar, jadi kenapa jajaran KLORR dibenarkan melalui ekosistem yang mudah terjejas ini? KLORR juga akan melalui Taman Melawati, yang akan mengubahnya daripada kejiranan yang aman damai bertukar kepada kawasan berbahaya, berhabuk dan bising. Adakah jalan lingkaran luar ini perlu walaupun jika kosnya membawa kepada kemusnahan?  

Seperti mana yang kami tegaskan dalam bantahan terhadap cadangan Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang, membina jalan lingkaran luar bukanlah penyelesaian jangka panjang kepada kesesakan lalu lintas. Rancangan pengangkutan yang memilih untuk menggerakkan kenderaan persendirian sebagai ganti orang ramai akan menggalakkan pertambahan lebih banyak kenderaan persendirian di jalan raya. Alternatif yang mapan dan berdaya maju untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam kita. 

Harga yang terpaksa dibayar untuk KLORR dalam jangka panjang dan pendek amat tinggi dan kerosakan kepada alam sekitar tidak dapat diperbaiki lagi, kami menggesa kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan supaya menghentikan pembinaan KLORR. Langkah juga mestilah diambil untuk memastikan bahawa Taman Negeri Selangor dan Banjaran Kuarza Klang Gates dilindungi sepenuhnya daripada sebarang jenis pembangunan. 
 
SM Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
& Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Ulasan: Tanggungjawab kerajaan terhadap hutan semulajadi amat besar untuk kebaikan anak cucu kita. Bukan hanya memberi kontrak pembangunan kepada kroni.

No comments: