Wednesday, May 26, 2010

Beri kuasa kepada negeri atasi jenayah

Harakahdaily

KOTA BHARU, 25 Mei: Kerajaan negeri tidak berkuasa mengatasi persoalan jenayah yang kian berleluasa kini kerana kuasa pemerintahan khususnya membabitkan perundangan termasuk undang-undang syariah adalah dikuasai Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr Mohd Fadhli Hassan menggesa Kerajaan Persekutuan menggunakan peruntukan Perlembagaan 76A dengan memberikan kuasa kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan undang-undang termasuk undang-undang syariah.

Katanya, kerajaan negeri hanya melaksanakan pentadbiran negeri kerana kuasa ‘pemerintahan’ khususnya membabitkan perundangan termasuk undang-undang syariah adalah dikuasai Kerajaan Persekutuan.

“Sementara Kelantan adalah satu unit dari federal yang mengamalkan konsep federalisma,” katanya kepada media pada Majlis Penutup Bengkel Videografi anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kemahiran Negeri Kelantan (Kesdec) di Darul Digital di sini petang semalam. Turut hadir ialah Pengarah Kesdec, Zailani May.

Beliau yang juga Pengerusi Darul Digital yakin dengan kuasa diberikan kepada kerajaan negeri, maka kejadian jenayah dan gejala sosial khususnya membabitkan remaja akan dapat diatasi.

“Kita di Kelantan tidak boleh memerintah secara Islam, kita hanya mentadbir negeri, itu saja. Ini kerana pemerintahan tetap dikuasai Pusat lantaran Kelantan satu unit daripada federal,” ujarnya.

Jelasnya,Islam menegaskan bahawa sekiranya hendak menghapuskan kejadian jenayah, maka undang-undang jenayah mesti dilaksanakan.

“Namun ianya tidak boleh dilaksanakan walau pun kita dikatakan kerajaan negeri lantaran kerajaan negeri tidak ada kuasa, yang ada kuasa ialah Kerajaan Pusat.

“Dari sudut undang-undang, kita tidak boleh mengatasi persoalan jenayah termasuk jenayah syariah, kecuali Kerajaan Persekutuan, dengan menggunakan peruntukan Perlembagaan 76A; memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan undang-undang syariah, maka dengan itu barulah kerajaan negeri mempunyai kuasa.

Dengan, itu, katanya adalah diyakini dengan itu bahawa kerajaan negeri akan dapat mengatasi kejadian jenayah termasuk gejala social.

 

No comments: