KUALA LUMPUR 20 Mei - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengingatkan semua anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak menggunakan senjata api yang dibekalkan sewenang-wenangnya kecuali untuk mempertahankan diri sendiri dan orang awam.
Beliau menegaskan, setiap anggota boleh menggunakan senjata api itu hanya jika nyawa mereka dan orang lain benar-benar terancam.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan semua pegawai penyelia termasuk Ketua Polis Daerah (KPD) atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) agar memberi taklimat kepada setiap anggota mereka sebelum keluar bertugas.
"Ini terutamanya mengenai tatacara penggunaan senjata api dan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya nyawa terancam.
"Semua KPD dan KBSJBD diminta agar memantau pegawai-pegawai muda khususnya pegawai penyiasat (IO).
"Saya ingin memberi amaran agar setiap arahan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu dipatuhi sepenuhnya," katanya dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Selain itu, Ismail berkata, setiap anggota dan pegawai PDRM diingatkan agar tidak hilang fokus dalam menjalankan tugas meskipun pelbagai perkara melanda pasukan tersebut kebelakangan ini.
Tambah Ismail, setiap anggota dalam pasukan itu perlu mengutamakan integriti dalam melaksanakan tugas.
Katanya, jika setiap anggota itu mengutamakannya, masalah seperti penyelewengan, tidak jujur dan amanah dapat dielakkan.
Ulasan: Jangan tembak rakyat kecuali ikut SOP.
No comments:
Post a Comment