Friday, May 21, 2010

Harga kereta perisai AV8 dikaji: RM7 - 8 bilion

KUALA LUMPUR 20 Mei – Kementerian Pertahanan hari ini mengesahkan bahawa harga bagi perolehan 257 buah kereta perisai (APC) 8x8 AV8 buatan syarikat pertahanan tempatan, Deftech Sdn. Bhd., akan lebih rendah berbanding harga asal yang ditawarkan iaitu RM8 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan persetujuan awal, harga baru yang ditawarkan adalah sekitar RM7 bilion tetapi beliau menegaskan, pihaknya dan Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Deftech selepas ini.

“Saya telah diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan perbincangan teliti dengan Deftech mengenai nilai sebenar APC tersebut.

“Harga baru nanti akan diperincikan mengikut kos sebenar daripada pembekal dan juga kos pengeluaran serta sedikit keuntungan yang harus diambil kira,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Panglima Tentera Darat yang baru, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Ahmad Zahid diminta mengulas sama ada kerajaan bersedia mengadakan perbincangan dengan Deftech mengenai perolehan tersebut memandangkan harga RM8 bilion yang ditawarkan dilihat pelbagai pihak sebagai terlalu mahal.

Pada pameran Defence Service Asia (DSA) 2010 bulan lalu, Kementerian Pertahanan telah memeterai surat tunjuk minat (LOI) bagi perolehan 257 AV8 untuk menggantikan kereta perisai Condor 4x4 dan Sibmas 6x6 yang telah uzur.

Kereta perisai AV8 adalah hasil peralihan teknologi daripada syarikat pertahanan antarabangsa, FNSS dari Turki dan Denel Land Systems dari Afrika Selatan bagi membolehkan Malaysia mempunyai APC buatan sendiri yang pertama…

Ulasan: RM7 bilioon…besarnya duit rakyat untuk pembelian kereta perisai Deftech. Jangan pula ada pihak yang menangguk di air keruh dengan memasukkan komisyen dengan pelbagai nama.

No comments: