Wednesday, April 01, 2009

Semua Kakitangan Awam Perlu Dibenarkan Berpolitik

Tajuk asal: Bukan Guru Sahaja, Semua Kakitangan Awam perlu dibenarkan sertai politik
Oleh hermansamsudeen

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang masih lagi mengamalkan diskriminasi dalam politik. Hal ini diakui banyak pihak termasuklah Menteri Pelajaran yang juga Naib Presiden Umno yang baru, Hishamuddin Hussien yang mencadangkan agar guru diberi kebenaran untuk berpolitik.

Peliknya, kenapa isu itu ditimbulkan dalam Perhimpunan Agung Umno dan tidak dibincang dalam kabinet sahaja. Tindakan itu seolah-olah mengambarkan bahawa Umnolah yang mengharamkan golongan guru untuk aktif berpolitik selama ini. Dan hakikatnya sememangnya begitulah sebenarnya, cuma rakyat sahaja yang tidak tahu bahawa Umno telah lama menindas mereka.

Cuba fikir cara logik. Semua guru dalam kategori kumpulan A diharamkan berpolitik agar mereka boleh melakukan kerja dengan lebih baik dan tidak condong mana-mana kumpulan politik. Tapi malangnya ketua mereka iaitu Menteri Pelajaran sendiri adalah orang politik yang dengan sesukahatinya boleh mengarahkan ini dan itu mengikut kehendak perwakilan Mesyuarat Agung Umno.

Jadi nak tak nak mereka sebenarnya telah dilibatkan dalam politik satu hala yang tiada kebebasan bersuara. Guru-guru Malaysia begitu malang kerana mereka tidak boleh menyampaikan pandangan mereka jika iannya bertentangan dengan parti Umno.

Jadi, mungkin setelah melihat masalah ini barulah Hishamuddin sedar bahawa kalau dilarang juga, guru-guru ini tetap akan berpolitik. Jadi apa salahnya mereka dibenarkan berpolitik.

Cuma diharapkan agar kebenaran itu benar-benar mengikut prinsip demokrasi di mana setiap Guru bebas menganggotai mana-mana parti politik tanpa perlu meminta kebenaran dari orang atasan (Kementerian). Selama ini guru umpama hamba kepada orang atasan, dimana setiap pergerakan mereka dipantau dan apa yang mereka nak buat perlu dapat izin dahulu.

Kakitangan awam lain juga punya hak

Dalam hal ini, saranan itu wajar diperpanjangkan kepada kakitangan disektor lain dalam perkhidmatan Kerajaan kerana kumpulan A mereka juga terikat dengan arahan tidak boleh berpolitik.

Mereka wajar diberikan kebebasan untuk berpolitik dan sebenarnya politik itu tidak akan memecah belahkan kakitangan Kerajaan. Yang buat pecah belah itu adalah pemimpin politik dalam Kerajaan yang sering menyalahgunakan kuasa dengan menghasut, mendesak dan membuat peraturan yang zalim kepada mereka.

Jika Menteri-Menteri yang dipilih adalah orang politik, jadi apa salahnya jika kakitangan dibawahnya dibenarnya berpolitik juga. Menteri kalau nak larang juga baik letak jawatan dan letak orang yang tidak berpolitik sebagai Menteri, barulah adil dan tiada kepentingan.

Oleh itu, saya berharap agar pemimpin Umno buka hati, buka mata untuk melihat akan masa depan negara yang lebih demokratik bukannya autokratik. Apa yang berlaku selama ini hanya membuatkan rakyat semakin benci pada Umno-BN.

Rakyat mahukan kebebasan dalam memilih dan hidup mereka juga tidak mahu dikongkong oleh peraturan yang hanya memberikan keuntungan pada sebelah pihak sahaja.
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4134

No comments: