Thursday, April 01, 2010

1 tahun sebagai PM: Najib tak capai apa-apa

Najib tak capai apa-apa sebagai PM 
KUALA LUMPUR, 1 April: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bersetuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa tidak ada apa-apa pencapaian sepanjang Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

"Bekas Perdana Menteri kata, sepanjang lima, enam tahun lalu, anda tidak melihat pertumbuhan negara sama sekali.

"Ia bermakna, sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri, anda tidak melihat pertumbuhan negara sama sekali," katanya.

Oleh kerana Umno sentiasa menisbahkan kejayaannya dengan pembangunan, kata Mahfuz, jika Dr Mahathir kata anda tidak melihat pertumbuhan negara sama sekali sepanjang lima enam tahun lalu, ia bermakna tidak ada apa-apa pencapaian sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri. 

"Itu sahaja maknanya kerana Dr Mahathir tidak buat kenyataan yang berbelit-belit mengenai perkara itu. Sangat mudah difahami," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Malaysian Insider 27 Mac memetik Dr Mahathir berkata: "Saya bimbang kerana sepanjang lima, enam tahun lalu, anda tidak melihat pertumbuhan negara sama sekali.

"Pada masa yang sama anda boleh melihat tuduhan (satu sama lain) di kalangan pelbagai kaum. Orang Melayu menuduh orang Cina, orang Cina menuduh orang India dan orang India menuduh orang Melayu".


Bagi Mahfuz, Dr Mahathir bukan sahaja menyatakan tidak ada pertumbuhan negara sama sekali sepanjang Najib memerintah, malah beliau juga menggambarkan Najib tidak dipercayai oleh orang-orang Melayu.

Menurut bekas Presiden Umno itu, wujudnya begitu ramai NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada Umno sebagai pelindung nasib mereka.

"Apabila Dr Mahathir kata orang-orang Melayu tidak lagi mempercayai Umno, ia sekaligus bermakna orang-orang Melayu tidak mempercayai Najib dan para pemimpin Umno yang lain kerana Umno di bawah kepimpinan mereka," kata Mahfuz. 

Beliau juga menyifatkan Najib membahayakan negara kerana beliau tidak mempunyai kebolehan untuk mempertimbangkan mana yang baik dan mana yang buruk untuk negara.

"Amat berbahaya kepada negara apabila Perdana Menterinya seperti dicucuk hidung dan menerima begitu sahaja cadangan supaya firma Zionis, Apco Worldwide bermaharajalela di dalam pentadbirannya," kata Mahfuz.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Worldwide Sdn Bhd dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau bimbang kerana kerajaan mengambil sikap membisu terhadap dakwaan penglibatan Apco, sedangkan maklumat strategik negara telah terjejas apabila kerajaan melantik syarikat Yahudi itu sebagai perunding komunikasi itu. 

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25813:najib-tak-capai-apa-apa-sebagai-pm&catid=1:utama&Itemid=50

Ulasan: Rakyat adalah cermin pemimpin negara.

No comments: