Thursday, April 22, 2010

2 parah jatuh lubang tidak ditutup kontraktor

SUNGAI PETANI 21 April - Dua remaja cedera parah dengan salah seorang daripadanya hampir patah pinggang selepas terjatuh ke dalam lubang yang didakwa tidak ditutup oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di Jalan Kampung Baru, Pulau Sayak dekat Kota Kuala Muda, Rabu lalu.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika mangsa, Mohd. Arif Ahmad dan Mohd. Asyrul Abd. Manaf, masing-masing berusia 17 tahun sedang menunggang motosikal berasingan.

Ibu Mohd. Asyrul, Zabedah Mustafa, 50, berkata, ketika kejadian, anaknya menunggang motosikal di hadapan diikuti Mohd. Arif untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Teluk Amboi, tidak sempat mengelak lubang sedalam 0.5 meter itu.

"Semasa tiba di tempat kejadian ditambah pula dengan keadaan gelap, mereka hanya sempat mengelak dua lubang namun tidak sempat berbuat demikian pada lubang ketiga.

"Ia mengakibatkan mereka terpelanting serta terhempas ke atas bahu jalan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu, Mohd. Asyrul yang parah dengan tulang belakangnya retak dan hampir patah pinggang dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani selama dua malam.

Sementara Mohd. Arif pula luka teruk di bahagian muka dan anggota badan.

Lebih malang lagi, katanya, kedua-dua mereka juga mungkin menghadapi risiko cacat seumur hidup selepas disahkan mengalami keretakan teruk pada bahagian tulang belakang serta pinggang.

"Saya sedih dengan kejadian yang berpunca daripada kecuaian kontraktor terbabit. Mereka tidak menutup lubang dikorek sejak beberapa minggu lalu," katanya.

Zabedah mendakwa, jalan tersebut juga tidak diletakkan papan tanda amaran oleh kontraktor terlibat.

Berikutan kejadian itu, katanya, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, bapa Mohd. Arif, Ahmad Mustafa, 62, berkata, pihaknya kesal kerana anaknya terpaksa menanggung derita akibat kejadian berkenaan.

"Sepatutnya, kontraktor tersebut perlu lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan kerja-kerja yang dijalankan mereka menyusahkan orang lain.

"Mereka harus tampil memperbaiki keadaan jalan ini supaya kejadian seumpama tidak berulang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat kontraktor terbabit untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya dalam tempoh terdekat.

Ulasan: Kontraktor bertanggungjawab mempastikan tapaknya bebas dari kemalangan dengan memasang tanda amaran serta berlampu dan menutup kembali lubang yang di koreknya. Dan kos semua itu sudah sewajarnya dimasukkan ke dalam tender. Saman saja kontraktor dan pihak klien (contohnya JKR atau pihak berkuasa tempatan) dan/atau pihak jurutera perunding bertangungjawab. Bayangkan VIP yang terlibat dalam kemalangan sebegini, tentu heboh seluruh dunia... Tapi kebanyakan kita adalah rakyat marhaen.

+

No comments: