KUALA TERENGGANU 15 April - Seorang ibu terkilan dengan layanan doktor di dua hospital yang merawat anaknya dan kemudian meninggal dunia akibat menghidap barah darah baru-baru ini.
Mek Zahrah Mohd., 49, berkata, walaupun menerima takdir kehilangan anaknya, Ahmad Amirul Faez Ismail, 18, seminggu lalu namun dia sedih kerana layanan pihak hospital menambahkan kesengsaraan anaknya.
Menceritakan kejadian menimpa Ahmad Amirul Faez beberapa minggu sebelum kematiannya, ibu kepada lapan anak itu berkata, dia sekeluarga tidak menyangka penyakit anaknya kembali menyerang selepas dikesan ketika dia berumur lapan tahun.
"Pada Mac lalu arwah mula mengadu sakit dan kami membawanya ke sebuah hospital kerajaan di Kuala Terengganu.
"Namun tiada pakar lalu kami terpaksa membawanya ke hospital di Kota Bharu, Kelantan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh, Manir di sini hari ini.
Menurut Mek Zahrah, ketika di hospital di sini, doktor yang merawat anaknya hanya memberi remaja itu aspirin sedangkan anaknya menggigil menahan sakit.
Jelasnya, selepas dibawa ke sebuah hospital kerajaan Kota Bharu, anaknya diminta membuat rawatan kemoterapi selama empat hari berturut-turut.
"Sehari sebelum rawatan kemoterapi dijalankan, anak saya meminta rawatan tersebut dijalankan selang beberapa hari kerana dia mahu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri temuduga memasuki sekolah tahfiz, namun doktor memberi jawapan yang kesat kepadanya," ujarnya.
Jelas beliau, doktor berkenaan menjawab: "Saya yang rawat awak atau awak yang rawat saya! Kalau awak tak nak saya rawat, awak boleh angkat beg dan balik ke rumah. Sepatutnya awak kena berterima kasih kepada saya sebab saya ikhlas nak rawat awak."
Jelasnya, selepas tiga hari anaknya menjalani rawatan kemoterapi bermula 4 April lalu, doktor tersebut hanya menjengah remaja itu sekali sahaja sehinggalah anaknya menemui ajal pada 7 April lalu.
Kata Mek Zahrah, tindakan doktor tersebut seperti enggan memberi layanan sepatutnya sehingga menjadi tanda tanya seluruh keluarganya.
"Bayangkan ketika anak saya tengah nazak dan darah mula keluar dari setiap rongga serta menggigil teruk hanya doktor biasa di sisinya dan dia tidak mampu berbuat apa-apa sehingga anak saya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11 pagi," katanya.
Ulasan: Bayangkan kalau terjadi kepada keluarga VIP. Hospital sewajarnya melayan semua pesakit dengan sama.
No comments:
Post a Comment