Tuesday, April 27, 2010

Nik Aziz Ulas Kekalahan PR di Hulu S'ngor

Posted by Ibnu Hasyim 

KOTA BHARU, 26 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kekalahan adalah motivasi untuk terus berjuang lebih kuat bukan berpatah semangat. Perjuangan menegakkan kebenaran melawan kebatilan katanya tidak boleh berhenti selagi manusia itu masih diberi peluang untuk hidup.


“Selagi hidup kita di muka bumi ni masih ada, perjuangan menegakkan syiar Islam mesti diteruskan, Nabi Muhammad saw berjuang selama 23 tahun dan ia harus diteruskan dalam semua aspek,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekalahan tipis Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor semalam. Beliau ditemui media selepas merasmikan program pertukaran Pelajar Muhammadiyah Padang Sumatera Barat dengan Yayasan Islam Kelantan di ibu negeri hari ini.

Biarpun kalah dari sudut undi, namun Pakatan Rakyat jelasnya tetap menang dari aspek moral. Sokongan pelbagai kaum kepada Pakatan Rakyat jelasnya cukup membuktikan Pakatan Rakyat adalah wadah terbaik rakyat negara ini.

Selain itu kekalahan itu menurutnya menjadikan ikatan antara parti dalam Pakatan Rakyat semakin kukuh berdepan Pilihan Raya Umum akan datang. “Kita mesti ingat di Malaysia ni walaupun kita kalah dalam pilihanraya kecil tetapi bila masuk pilihanraya umum kita menang,” katanya lagi.

Pilihanraya kecil P.94 Parlimen Hulu Selangor dimenangi calon BN P. Kamalanathan dengan majorit 1725 mengatasi calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim. (AK)

No comments: