Friday, April 09, 2010

Amerika terima padah jika tetap serang Iran

2010/04/09 TEHERAN: Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Jeneral Hassan Firouzabadi, semalam memberi amaran kepada Amerika Syarikat bahawa tidak ada askar negara itu akan pulang hidup-hidup jika ia menyerang Iran, lapor agensi berita Fars. 

Hassan membuat ulasan itu, sehari selepas Presiden Mahmoud Ahmadinejad memberi amaran kepada Presiden Barack Obama bahawa Iran akan memberi tindak balas keras, ketika beliau mengecam dasar baru nuklear Washington. 
 
“Jika Amerika mengambil tindakan ke atas Iran, kesan ke atasnya akan menjadi seribu kali ganda lebih buruk, masalah ekonominya akan meningkat dan negara itu bakal kehilangan lebih banyak pasaran. Tiada askar Amerika di wilayah ini akan pulang hidup-hidup,” kata Hassan yang dipetik agensi berkenaan. 
 
Beliau menyifatkan Obama sebagai seorang lelaki yang bertimbang rasa tetapi tidak mampu bertindak. 

“Beliau seorang berkulit hitam datang dari kumpulan masyarakat yang tidak mendapat keutamaan dengan latar belakang Asia Timur dan mempunyai perasaan belas kasihan di dalam hatinya. Malangnya beliau terperangkap dengan cara pentadbiran Amerika dan tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya. 

Ahmadinejad kelmarin memberi amaran kepada Obama selepas Washington mengumumkan perubahan dalam dasar senjata nuklear. 

“Berwaspadalah. Jika anda masuk ke laluan George W Bush, tindak balas negara ini akan sama kerasnya seperti yang pernah kami berikan kepada Bush,” katanya. 
Tiga hari lalu, Washington mengumumkan dasar barunya dengan menyatakan ia hanya akan menggunakan senjata atom dalam keadaan yang ‘amat terdesak’ dan tidak akan menyerang negara bukan nuklear. – AFP

Ulasan:Lebih baik jadi Presiden yang menolong manusia yang tertindas daripada jadi alat pengusaha-pengusaha besar yang menyokong Zionist.

No comments: