Thursday, April 29, 2010

Tembak: Polis ambil keterangan saksi utama

Harakahdaily  

SHAH ALAM, 28 April: Saksi utama insiden remaja mati ditembak oleh anggota polis di sini, pagi Isnin lalu sedang diambil keterangan oleh pihak polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor, di sini.

Menurut peguam yang mengiringinya, Gobind Singh Deo, siasatan yang bermula kira-kira 3.30 petang dijangka mengambil masa sekitar dua jam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puchong menggesa polis menyegerakan siasatan kes tersebut supaya dapat dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat.

Gobind juga mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kejadian pembunuhan ke atas mangsa, Aminulrasyid Amzah, 15.

"Saksi ketika ini dalam keadan terkejut dan tertekan, peguam akan bantu semaksimum mungkin untuk tenangkan saksi supaya dapat memberi keterangan," ujarnya.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak tidak terlibat dengan jenayah.

Beliau menganggap kenyataan itu tidak menjaga hati keluarga mangsa sedangkan belum ada bukti allahyarham adalah penjenayah.

Saksi beserta abangnya dibawa ke IPK oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali dan tiba kira-kira jam 3.00 tadi. 

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberi jaminan akan mengambil tindakan yang setimpal jika siasatan mendapati pihaknya cuai dan melebihi kuasa yang diberikan mengenai kejadian tersebut.

Justeru, ketika bercakap pada sidang media di pejabatnya di IPK negeri hari ini, beliau meminta semua pihak termasuk ahli politik agar tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung insiden itu.

No comments: