Kemenangan P Kamalanathan mungkin memberi satu berita gembira buat sebahagian komponen BN. Memang ianya sebuah kemenangan tetapi berapakah yang perlu mereka bayar dengan sebuah kemenangan di Hulu Selangor?
Bagi penyokong BN yang hanya berpangkat 'prebet' boleh tidur dengan nyenyak selepas pengumuman kemenangan BN itu. Tetapi bagaimana pula dengan beberapa pemimpin BN yang mungkin berasa gusar atau tidak senang dengan keputusan malam tadi.
Kenapa WarkahDaily harus menyoal sedemikian? Apakah BN sudah menang dengan majoriti lebih besar berbanding dengan PRU ke-12 yang lepas?
Jawabnya, betul, BN memang menang besar malam tadi dengan memperolehi majoriti 1,725 undi berbanding PRU yang lepas hanya 198 undi sahaja. Tetapi WarkahDaily merasakan, apakah keputusan itu mendatangkan kegembiraan yang puas bagi pemimpin BN?
'KPI' Muhyiddin jauh tersasar?
Sebelum ini, Timb. Pengerusi BN, Muhyiddin Yassin telah pun menyatakan KPI PRK Hulu Selangor adalah kemenangan majoriti 6,000 undi. Jika dicongak, berapa banyak perbezaan yang sudah tersasar daripada yang dijangka Muhyiddin.
Mustahil seorang yang berpangkat Timb. Perdana Menteri boleh bercakap sekadar 'atas angin' berkaitan sasaran yang dibuat BN. Jika tidak mengharapkan nasihat APCO pun, paling tidak ada analisis yang menyebabkan Muhyiddin menyasarkan KPI itu.
Maka, keputusan malam tadi dilihat telah memberi sedikit tekanan terhadap Muhyiddin sebagai pengarah pilihanraya BN bagi Hulu Selangor. KPI tak tercapai, maka ujian tak luluslah tu.
Berbaloikah 'pelaburan' Hulu Selangor?
Menurut Dato` Zaid Ibrahim, kerajaan Najib telah berbelanja sebanyak RM40 juta untuk menghadapi Pakatan Rakyat di PRK Hulu Selangor.
Kiraan itu mungkin berdasarkan kepada setiap 'pelaburan' yang telah dibuat melalui penaburan janji terhadap penduduk Hulu Selangor. Pelaburan pilihanraya dalam bentuk suapan, rasuah pilihanraya, janji pembangunan dan sebagainya telah dianggarkan jutaan ringgit termasuk 'upah' kepada pengundi untuk mengundi BN.
Perkara ini sudah menjadi trend BN berhadapan pilihanraya bagi mengekalkan kuasanya. Dengan kata lain, BN telah mempergunakan segala jentera kerajaan untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat termasuk menggunakan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengumpan warga emas agar memberi sokongan kepada BN.
Duit ada ke tidak, belakang kira, asalkan dapat memutarkan janji. Walaupun belum pasti janji dapat ditunaikan.
RM40 juta bukannya kecil. Jika duit itu diagihkan kepada seluruh pengundi Hulu Selangor (64,500 pengundi), mereka akan mendapat sekitar RM620 seorang. Tidak kira miskin atau kaya, semua dapat merasa.
Tetapi, dengan nilai RM40 juta, BN hanya memperolehi kemenangan majoriti 1,725 undi jauh tersasar daripada sasaran awal 6,000 undi. Berbaloikah 'pelaburan' itu? Cuba bayangkan jika ada beberapa lagi PRK yang lain, apakah 'pelaburan' serupa perlu dibelanjakan oelh BN? Begitu terdesak sekali jika BN perlu melabur RM40 juta untuk setiap PRK?
Hilang sokongan pengundi Cina
Hilangan sokongan pengundi Cina dilihat telah memberi satu tamparan hebat buat kepimpinan baru parti komponen BN, iaitu MCA yang baru sahaja berhadapan krisis kepimpinan.
Najib sebelum ini menganggap, PRK Hulu Selangor menjadi medan ujian terhadap kepimpinan baru MCA yang baru selesai pemilihan kepimpinan.
Tetapi, harapan Najib untuk melihat kepimpinan MCA yang telah pun 'dirancangnya' jauh tersasar dari mendapat penerimaan pengundi kaum Cina.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina didapati tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil itu tetapi juga semasa pilihan raya umum 2008.
"Kita perlu melihat di mana silap kita. Saya akan berjumpa dengan parti-parti komponen untuk membincangkan perkara ini, tetapi kita gembira kerana pengundi India kembali menyokong BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu", kata Adnan.
Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan.
"Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah. Apabila kita mula berkempen di sini, tahap sokongan hanya sekitar 12% hingga 15%. Selepas perdana menteri turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25%", kata Dr Koh.
Walaupun Najib sendiri turun padang untuk mengambil hati orang Cina, namun kaum Tionghua itu dilihat terus menolak BN.
Apakah penolakan pengundi Cina itu akan berterusan kerana sudah menyampah dengan BN atau hanya sekadar menolak kepimpinan MCA yang diselubungi beberapa skandal moral dan perebutan jawatan dalam parti.
Jadi, berbaloikah kemenangan BN malam tadi? Apakah ianya memberi kepuasan tulen kepada pemimpin BN?
Penolakan terhadap kepimpinan Samy Vellu
Walaupun bagi kaum India, BN dilihat mendapat pertambahan sokongan dari kaum itu selepas menukar calon pilihan Samy Vellu dengan mencalonkan P Kamalanathan.
Konon kekalahan dalam PRU 12 lalu, kaum India menolak BN kerana tidak suka dengan Palanivel yang dikatakan sekutu Samy Vellu. Ini menunjukkan kepimpinan Samy Vellu juga berhadapan dengan masalah.
Bagi WarkahDaily, signal kemenangan itu membuatkan Umno yang mendominasi BN, memberi tekanan kepada MIC supaya membuat keputusan menukar segera kepimpinan Samy Vellu jika mahukan sokongan kaum India dalam PRU akan datang. –WarkahDaily
http://warkahdaily.blogspot.com/2010/04/prk-hulu-selangor-harga-sebuah.html
No comments:
Post a Comment