Wednesday, April 28, 2010

Justice to Amirulrasyid: KDN tubuh pasukan khas

KUALA LUMPUR 27 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian seorang pelajar tingkatan tiga yang ditembak mati setelah cuba merempuh anggota polis peronda ketika mahu memberkasnya di kawasan perumahan Jalan 11/2G, Seksyen 11, Shah Alam semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pasukan khas itu akan diketuai oleh Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi menyiasat dan meneliti kes tersebut secara terperinci.

"Sekiranya ada sesuatu yang tak kena, pihak yang berkenaan (polis) perlu bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra Ahli Lembaga Hakim Pelawat Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Kajang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid Amzah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, di Shah Alam, yang memandu kereta Proton Iswara mati ditembak setelah dikatakan cuba melarikan diri dari sekatan polis manakala rakannya pula berjaya melarikan diri.

Hishammuddin yang sedih dan terkejut dengan kejadian itu berkata, beliau telah mengarahkan siasatan dilakukan dengan seadil-adilnya bagi membolehkan orang ramai mengetahui keadaan sebenar.

Pada masa sama, beliau meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menimbulkan andaian tanpa berlandaskan fakta serta memberi pandangan mengelirukan.

"Semuanya mestilah berasaskan kepada fakta dan bukti yang kukuh," jelasnya.

Ditanya mengenai siasatan awal kes itu, beliau berkata:

"Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan, biar siasatan mengambil tempat dulu".

No comments: