OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Pada 30 Mac yang lalu Najib Tun Razak mengumumkankan kepada rakyat kononnya satu reformasi ekonomi Malaysia melalui pengenalan bahagian pertama Model Ekonomi Baru ( MEB). Bahagian kedua MEB akan diumumkan pada bulan Jun nanti.
MEB mengandungi 8 inisiatif perubahan yang dicadangkan oleh Kerajaan BN.Di dalam laporan yang disediakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan ( MPEK ) didedahkan satu penilaian yang agak terbuka tentang apa yang tidak kena dengan ekonomi Malaysia sebelum ini . MPEK juga mendedahkan halangan-halangan yang mengakibatkan pencapaian ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.
Kadar pertumbuhan tersebut mula menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini kepada purata 4.5 hingga 5 peratus sahaja.
MEB sepertimana slogan 1 Malaysia adalah slogan-slogan baru yang dicanangkan kepada rakyat negara ini. Menjadi satu trend dalam negara ini setiap kali berlaku pertukaran Perdana Menteri maka bertukar juga slogan-slogan manis yang dicanangkan kepada rakyat. Satu Malaysia ganti Islam Hadhari. MEB ganti DEB.
Bagaimanapun satu perkara yang tidak bertukar adalah sama ada konsep Islam hadhari atau 1 Malaysia atau DEB atau MEB idea-idea ini masih datang dari partai politik yang sama yang menerajui negara ini selama ini- UMNO atau Barisan Nasional ( BN ). Sejarah membuktikan idea-idea seperti DEB meskipun manis dari segi konsep dan niatnya namun bercelaru apabila tiba waktu pelaksanaannya.
DEB yang bertunjangkan idea yang baik iaitu untuk menyusun semula masyarakat dan menbanteras kemiskinan diakui oleh Najib sendiri dalam ucapannya dengan kata-kata berikut “ untuk sekian lama, perlaksanaan dasar affirmative ( DEB ) tidak sampai kepada pihak-pihak yang perlu kepada dasar tersebut”. Secara mudahnya DEB gagal.
Para penganalisa ekonomi meskipun mengambil sikap terbuka menerima konsep MEB ini namun masih ragu-ragu sama ada perlaksanaannya akan benar-benar dapat dilakukan dengan jayanya. Melihat kepada beberapa tulisan di dalam “the edge” seperti tulisan oleh Azam Aris ( “the missing political will” ) dan Anna Taing ( “So much to do and so little time to do it “) adalah jelas mereka percaya dasar ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya selagi mana budaya “rent seeking and patronage” masih terus berleluasa.
Azam menulis “ budaya rent seeking dan sistem patronage adalah faktor besar yang menyumbang kepada ketirisan dan kebocoran dalam ekonomi- sebahagian menyatakan beratus-beratus billion ringgit- yang membawa kepada persekitaran ekonomi yang tidak cekap dan berdaya saing. Budaya ini berkait rapat dengan amalan rasuah”
Secara mudahnya budaya “rent seeking “ berlaku apabila mana-mana individu atau syarikat atau organisasi menggunakan segala sumber yang mereka ada untuk mendapat faedah-faedah ekonomi daripada Kerajaan tanpa mengembalikan semula faedah-faedah yang mereka terima itu kepada masyarakat. Contoh rent seeking adalah apabila syarikat melobi pihak Kerajaan bagi mendapatkan pinjaman, geran atau perlindungan tariff di mana aktiviti-aktiviti ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada rakyat bawahan kerana ianya hanya adalah satu pengagihan semula sumber –sumber dari pembayar cukai kepada golongan-golongan yang mempunyai kepentingan tertentu.
Apa yang didedahkan oleh Azam bukan satu omongan kosong. Sejarah Umno mengurus ekonomi negara membuktikan apa yang dikatakan oleh Azam adalah satu realiti. Sebagai satu contoh kita lihat pendedahan yang dilakukan oleh Barry Wain tentang budaya rent seeking dan patronage” di dalam bukunya “Malaysia Maverick Mahathir Mohamed in turbulent times” . Di m/s 186 buku tersebut Barry Wain menulis bagaimana Mantan Presiden Umno itu menberikan kontrak projek empangan Bakun di Sarawak bernilai RM 15 bilion tersebut kepada Ting Pek Khiing yang mempunyai hubungan rapat dengan mantan presiden Umno itu.
Barry Wain menulis “Dr Mahathir memberi keizinan kepada Ekran Bhd ( syarikat milik Ting Pek Khiing ) pada awal tahun 1994 selepas Ting dan Ketua Menteri Sarawak yang amat berpengaruh iaitu Abdul Taib Mahmud secara bersendirian membincangkan projek tersebut hanya dalam beberapa minggu sahaja. Tiada persaingan /tender yang terbuka dibuat , Ekran yang tidak mempunyai apa-apa kepakaran atau pengalaman dalam projek pembinaan empangan tidak mengemukakan apa-apa cadangan kepada Kerajaan Negeri sebelum mendapatkan kontrak tersebut. Ting hanya mengemukakan kajian kesan kepada alam sekitar ( environmental impact study ) hanya setelah 6 bulan beliau mendapatkan kontrak tersebut.”
Barry Wain juga menulis rakan kongsi kepada Ekran iaitu “Swiss Swedish engineering powerhouse Asea Brown Boveri Ltd. iaitu syarikat yang dipilih oleh Kerajaan Malaysia bagi mengetuai Konsortium pembinaan empangan bakun itu telah bertelingkah dengan Ekran apabila Asea Brown Boveri Ltd. membantah pemberian kontrak berjumlah RM 9 bilion kepada empat syarikat yang Ekran mempunyai kepentingan tanpa tender terbuka. Bantahan itu mengakibatkan syarikat asing itu dikeluarkan sebagai rakan kongsi Ekran.
Pendedahan Bary Wain itu satu contoh daripada beberapa contoh yang menunjukkan budaya rent seeking dan patronage boleh merosakkan sebarang dasar atau teori ekonomi meskipun dihiasi dengan kata-kata yang indah. Apa jaminan selagi Umno memerintah budaya tidak sihat sepertimana dalam kes Bakun itu tidak akan berlaku dan merosakkan kata-kata indah yang mendasari MEB yang dicanangkan oleh Najib.
Sepertimana yang dikatakan meskipun MEB adalah idea baru namun ianya datang dari pemimpin Umno- parti yang sama memperkenalkan DEB dan dalam masa yang sama menggagalkan DEB kerana perlaksanaannya yang penuh dengan ketirisan, kronisme , nepotisme dan juga rasuah di mana-mana.
Apa yang lebih malang di zaman Umno memerintah krisis keyakinan melanda institusi –institusi penting negara ini . Keyakinan para pelabur terhadap integriti institusi kehakiman sebagai contoh sehingga kini masih belum pulih sekaligus ia merencat iklim pelaburan. Bukan menjadi rahsia lagi para pelabur asing lebih rela dan yakin kes –kes mereka dibicarakan oleh timbangtara yang dikendalikan di luar negara daripada dibicarakan oleh Mahkamah di negara ini. Atas dasar itu semasa menandatangani mana-mana kontrak di negara ini para pelabur ini akan mengarahkan para peguam mereka meletakkan klausa di dalam perjanjian bahawa sebarang pertikaian yang berlaku hendaklah diputuskan oleh timbangtara dan bukannya oleh Mahkamah di Malaysia. Lihatlah betapa hinanya institusi kehakiman setelah dirosakkan oleh Umno.
Atas dasar itu rakyat mempunyai alasan yang kukuh untuk meragui konsep MEB meskipun dasar itu dihiasai dengan pelbagai kata-kata yang enak dan manis didengar. Najib mengatakan bahawa MEB masih mengekalkan dasar affirmative tetapi ianya kini berdasarkan empat prinsip – prinsip mesra pasaran ( market friendly ), prinsip berdasarkan merit ( merit based ), prinsip berdasarkan keperluan ( need based ) dan prinsip ketelusan ( transperancy ). Ya memang sedap didengar tetapi dengan trek rekod yang buruk BN mengurus ekonomi negara ini adakah kata-kata yang indah itu yang diperlukan oleh rakyat pada ketika ini ?
posted by hanipamaidin @ 5:18 AM
http://peguampas.blogspot.com/2010/04/rakyat-mahu-kerajaan-baru-bukan-model.html
FRU, PORU perlu 12 kereta perisai meriam air
No comments:
Post a Comment