SUNGAI PETANI 3 Mei - Seorang penjual nira nipah maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika cuba mengelak lubang jalan yang tidak diturap dengan sempurna di Kampung Hujung Matang, Pulau Sayak dekat Kota Kuala Muda, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika Jamaludin Zakaria, 27, sedang menunggang motosikal dari rumahnya di Kampung Sungai Meriam untuk bermain bola di padang awam Kampung Padang Salim.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk, me dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada pukul 9 malam.
Jalan menghubungkan Kampung Padang Salim dan Pulau Sayak sebelum ini mencatatkan beberapa kes kemalangan. Kebanyakan daripada mangsa mengalami cedera parah atau kecacatan fizikal.
Adik mangsa, Kamarudin Zakaria, 25, berkata, ketika kejadian, abangnya yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan cuba mengelak lubang jalan yang dikorek kontraktor tetapi tidak diturap semula dengan sempurna.
"Ketika tiba di tempat kejadian, dia cuba mengelak laluan yang tidak diturap namun motosikalnya itu terbabas dan merempuh paip air di tepi jalan.
"Akibatnya, abang saya tercampak ke tembok simen penghadang paip dan mengalami cedera parah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Kamarudin, abangnya segera dibawa ke hospital namun meninggal dunia akibat kecederaan serius.
Tambahnya, keadaan jalan di kawasan itu amat berbahaya kepada pengguna terutamanya penunggang dan pembonceng motosikal.
"Sudah banyak kali kes kemalangan berlaku tetapi tiada tindakan susulan diambil. Kini, abang saya sudah meninggal, tak pasti mereka hendak tunggu berapa lama lagi untuk perbaiki jalan ini," katanya.
Utusan Malaysia pada 21 April lalu pernah melaporkan dua remaja cedera parah dengan seorang daripadanya hampir patah pinggang selepas terjatuh ke dalam lubang yang didakwa tidak dikambus oleh kontraktor membaiki jalan itu.
Nahas pada pukul 8 malam 14 April lalu itu berlaku ketika mangsa, Mohd. Arif Ahmad dan Mohd. Amyrul Ashraf Abd. Manaf, masing-masing berusia 17 tahun, sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah di Kampung Teluk Amboi.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Masyarakat Cina Kedah, Tan Chow Kang ketika melawat tempat kejadian berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat tergempar dengan agensi terlibat untuk mengatasi masalah itu.
"Berdasarkan tinjauan hari ini, saya dapati keadaan jalan sini amat berbahaya. Difahamkan, jalan ini diselenggarakan kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di bawah projek Rancangan Tebatan Banjir.
"Saya akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya; JPS, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk melakukan tindakan segera," katanya.
Ulasan: Satu kemalangan yang pernah berlaku adalah terlalu banyak sekiranya kontaraktor utama dan JPS sedar tuntutan pampas an yang akan dan telah di kemukakan di mahkamah. Lain kalau pihak kontaktor atau klien tak pernah langsung terrlibat dengan sebarang projek yang mendatang risiko kepada orang awam. Seolah2 ini berlaku di negara mundur atau 40 tahun dulu. Dalam perjanjian antara pemilik/klien dan kontraktor ada klausa berkenaan kemalangan orang awam dari projek. Sila semak. Utamakan Rakyat.
No comments:
Post a Comment