JAKARTA 6 Mei – Pemimpin pembangkang Indonesia hari ini menyambut baik keputusan Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati meletak jawatan, satu isyarat yang lama dihadapi oleh negara ini yang menghadapi tamparan dalam usaha membawa pembaharuan yang dilihat sebagai sangat perlu untuk menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Ketika pelabur dan reformis kini menghadapi ketidaktentuan berhubung langkah pembaharuan, segelintir pemimpin pembangkang meningkatkan kritikan terhadap Sri Mulyani, dengan harapan sahabat reformisnya, Naib Presiden Boediono bakal menyusul untuk meletakkan jawatan.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memenangi penggal kedua pemerintahan pada pilihan raya tahun lalu dengan janji untuk membanteras rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Dengan kehadiran golongan reformis seperti Sri Mulyani dalam kabinetnya, para pelabur telah menyuntik wang ke dalam aset Indonesia dengan harapan dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki prospek kepada kadar kredit gred pelaburan untuk negara anggota G-20 ini.
Pasaran saham Indonesia merudum hampir empat peratus semalam dan terus menjunam hari ini, sementara rupiah merosot kepada 9,225 daripada 9,030 berbanding dolar semalam berikutan pengumuman Sri Mulyani akan menyertai Bank Dunia sebagai pengarah urusan.
Sri Mulyani, seorang pakar ekonomi dihormati yang juga bekas pengarah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mendesak pembaharuan perkhidmatan awam dan memiliki pendirian tegas terhadap rasuah, mempunyai ramai musuh di kalangan pemimpin politik Indonesia dan ahli perniagaan elit semasa memegang portfolio Kementerian Kewangan.
Sejak 18 bulan lepas, beliau dan Boediono dikritik keras oleh pemimpin pembangkang yang bersungguh-sungguh mahu menyingkirkan mereka kerana membawa pembaharuan di Indonesia, terutamanya berhubung peranan mereka dalam meluluskan jaminan terhadap Bank Century.
Penganalisis berkata, peletakan jawatan beliau secara tiba-tiba dilihat membawa ketidaktentuan kepada pembasmian gejala rasuah di negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara ini.
“Peletakan jawatan beliau merupakan satu kehilangan kepada Indonesia,” kata pakar ekonomi kanan Standard Chartered, Fauzi Ichsan. – Agensi..
Ulasan: Selamat maju jaya Indonesia tanpa rasuah sebagai contoh bagi negara jiran.
No comments:
Post a Comment