Makan kanji setiap hari
PULAU PINANG 28 Julai - Kanji dan air suam sudah menjadi hidangan rutin Tajenisha Beevi Sirajidin dan tujuh anaknya sejak tiga tahun lalu.
Sejak suaminya dipenjarakan, hanya makanan itu yang mampu disediakan oleh ibu muda ini untuk mengisi perut mereka setiap hari.
Bagaikan mengerti kepayahan Tajenisha, 34, anak-anaknya yang berusia di bawah 16 tahun tidak merungut meminta yang bukan-bukan.
Cuma anak bongsunya yang kadang-kala merengek meminta susu dan dia terpaksa memberikan botol berisi air kosong untuk menenangkannya.
Dia sendiri tiada daya untuk menyusukan anaknya kerana sudah lama tidak menjamah nasi.
''Saya sedih kerana anak-anak saya tidak macam anak orang lain. Usahkan hendak makan lauk-pauk yang enak, menjamah nasi pun payah.
"Sejak suami tiada, hidup kami bertambah susah sampaikan terpaksa berlapar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di flat Batu Lanchang di sini hari ini.
Ekoran kesempitan hidup, Tajenisha terpaksa memberhentikan persekolahan anak keduanya.
''Saya pernah terfikir untuk memberi anak bongsu kepada orang lain sebab tidak sanggup tengok anak- anak hidup dalam keadaan macam ini," katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana terpaksa menjaga anak-anaknya yang masih kecil.
Tambah merisaukan Tajenisha kini, mereka sekeluarga mungkin diusir keluar daripada rumah yang didiami sekarang setelah gagal membayar sewa selama tiga bulan sebanyak RM1,200.
Dia hanya berharap tuan rumah mendengar permintaannya untuk menangguhkan bayaran duit sewa, apatah lagi dia masih menanggung hutang kos bersalin sebelum ini kira-kira RM3,000.
''Itu semua perlu dijelaskan sebelum Hari Raya Aidilfitri. Saya tidak tahu sampai bila nasib kami akan begini, bukan tidak pernah bekerja tetapi anak kecil saya sering sakit dan saya tidak boleh bergantung dengan jiran selamanya," katanya.
Tajenisha mendakwa pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak tiga kali tetapi permohonannya masih belum diluluskan.
Beliau berharap pihak yang bertanggungjawab tampil membantu meringankan bebannya termasuk kemungkinan memberi peluang menyewa rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tajenisha di talian 016-4715994….
Ulasan: Di tengah orang kita bermewah dengan makanan dan minuman, kereta, rumah dan percutian di negara asing, rupanya ada kawan yang menderita dan merana. Hulurkanlah seikhlas mungkin untuk membantu mereka.
No comments:
Post a Comment