KUALA LUMPUR 19 Julai – Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) akan memperkenalkan Peperiksaan Kecekapan Utama untuk jurutera profesional yang berhasrat menjadi konsultan.
Presidennya, Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim berkata, ia supaya jurutera di negara ini berkemahiran tinggi serta dapat menguasai kandungan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan undang-undang kecil serta peraturan-peraturan berkaitan amalan mereka.
“Ketika ini BEM berada pada peringkat menggubal soalan-soalan. Pengumuman rasmi tentang bila ia mula dilaksanakan akan dibuat hujung tahun ini atau tahun depan.
“Dengan adanya jurutera berkualiti, profesional dan cekap, program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan terjamin kualitinya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Menurut Judin, BEM tidak mahu berlaku kepincangan kerana peranan jurutera di bawah RMK-10 adalah penting apabila dua daripada 10 idea utama memberi fokus kepada pengkhususan dan inovasi.
Mengulas lanjut, Judin berkata, pengenalan kepada peperiksaan itu sudah dipersetujui oleh kerajaan.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) memberitahu, pihaknya akan menentukan pelan semasa, jangka sederhana dan panjang serta memberi tumpuan terhadap Dasar Teknologi Hijau.
“Jurutera mesti tahu revolusi teknologi hijau bagi menjamin pembangunan yang berkekalan,” katanya.
Mengenai isu kelewatan mendapatkan kontraktor bagi membersihkan sisa runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan di Terengganu, katanya, ia berpunca daripada kegagalan JKR negeri dan kerajaan negeri membuat keputusan bagi memilih kontraktor sesuai menjalankan kerja-kerja berkenaan.
“Dalam aspek ini, kita mementingkan keselamatan pekerja yang terlibat kerana tidak mahu kesilapan berulang.
“Sebenarnya, keputusan untuk melantik kontraktor di bawah bidang kuasa negeri kerana itu projek mereka.
“JKR negeri cuma minta nasihat dari ibu pejabat untuk membuat penilaian terhadap 48 kontraktor yang menghantar tender tetapi keputusannya di bawah bidang kuasa negeri,” katanya.
No comments:
Post a Comment