JELI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata UMNO perlu segera melakukan proses pembaharuan politik bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat atau ia akan menjadi ancaman kepada parti pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Presiden UMNO berkata, ancaman yang dihadapi menuntut pemimpin dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) membuat persediaan rapi mulai sekarang, merangkumi semua aspek bagi mempertahankan kedudukan dan kekuasaan yang dimiliki.
Perubahan landskap politik serta perkembangan kebelakangan ini menuntut kita mengambil sikap lebih sensitif dan fokus mengenai perkara dibangkitkan, supaya tidak berdepan situasi yang menggugat kedudukan sebagai parti yang membentuk kerajaan.
Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Razak) sudah mengingatkan supaya proses transformasi dilakukan lebih pantas dan agresif untuk mengubah persepsi yang timbul hari ini terhadap parti dan kerajaan.
Pilihan raya umum akan datang, bukan lagi cabaran biasa, tetapi ancaman terhadap pengekalan kuasa politik di negara kita. Saya sebut ancaman ini dalam konteks perubahan senario politik negara yang tidak seperti dulu, katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan UMNO bahagian Jeli di Kompleks UMNO Bukit Nangka di sini, semalam.
Turut hadir Ketua UMNO bahagian Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Jeli serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Muhyiddin berkata, jatuhnya beberapa negeri kepada pembangkang serta kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008 perlu dijadikan iktibar bukan saja oleh pemimpin dan ahli UMNO, tetapi juga komponen BN.
Katanya, ketika ini sudah ada perubahan sikap di kalangan ahli dan pemimpin akar umbi UMNO dan BN tetapi masih lambat serta tidak sepantas transformasi kerajaan yang menuntut pimpinan parti semua peringkat memberi perhatian serius...
Ulasan: Bagus juga kalau UMNO berehat memerintah negara ini dan menjadi pembangkang yang baik. Rakyat sudah nampak jelas perjuangan Melayu tidak akan tercapai melalui UMNO kerana sudah ada agenda peribadi di kalangan pemimpin UMNO untuk memperkayakan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment